Sabtu, 17 Oktober 2015

Kisah kami pergi Haji.. (part1)

gambar ehsan google.com


Alhamdullillah, syukur ke hadrat Ilahi, atas jemputanNya, kami, suami dan saya, telah selamat sampai ke tanah suci Mekah untuk menunaikan fardhu Haji dan Alhamdullillah telah juga selamat kembali ke pangkuan keluarga tercinta, Khamis lalu.

Di sini, saya mengambil kesempatan untuk menceritakan serba sedikit pengalaman Haji kami. Yang mana yang baik datangnya dari Allah, dan dimana yang silap dan salah, itu dari khilaf kami sendiri.

***

Impian.
Menunaikan fardhu Haji bukan sekadar impian bagi kita yang beragama Islam, ia satu tanggungjawab. Perlu dilunaskan bagi mereka yang berkemampuan. Seperti firman Allah pada ayat 97 , surah Al-Maidah,

Bermaksud: "Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliannya; di antaranya ialah) Maqam Nabi Ibrahim. Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah. Dan Allah Taala mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepada-Nya dan sesiapa yang kufur dan ingkar kewajipan haji itu, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya dan tidak berhajatkan sesuatu pun daripada sekalian makhluk".

Impian peribadi saya adalah untuk pergi menunaikan fardhu Haji seawal usia 35 tahun. Pada pendapat saya, penting untuk melunaskan Rukun Islam yang terakhir ini pada usia muda berdasarkan kepada faktor tenaga. Rebut lima sebelum lima, waktu muda sebelum tua, waktu sihat sebelum sakit. Ibu dan ayah saya mengerjakan Haji pada tahun 2007, dan mereka menyarankan agar kami suami isteri untuk mengerjakan fardhu ain yang satu ini pada usia muda. Haji merupakan ibadah fizikal dan rohani, lebih mudah jika pergi pada usia muda, pendapat mereka. Setiap kali tiba musim Haji, saya selalu terinspirasi dengan kisah-kisah Haji yang dibaca dan ditonton di kaca tv, dan semestinya kisah-kisah travelog haji Prof Kamil dan Puan Roza banyak memberi dorongan untuk kami berusaha agar dijemputNya pada usia yang segar bugar ini.


Bagaimana ianya bermula?

Alhamdullillah, Allah beri kami rezeki lebih awal tahun ini. Macam-macam perancangan yang dibuat dengan lebihan rezeki tersebut, antaranya, renovate rumah serba sedikit dan selebihnya kami rancang untuk menukar kereta kepada kenderaan yang lebih besar untuk keselesaan anggota keluarga. Kami merancang, Allah yang menentukan. Kereta mpv yang ditempah, yang sepatutnya tiba sebelum sambutan Tahun Baru Cina, tidak kunjung tiba. Apabila ditanya kepada pengedar, jawapan yang diterima agak terapung, maka kami yakin, belum masa untuk kami menukar kepada kenderaan besar yang baru. Lantas suami bertanya, "Nak tukar kepada jenama kereta lain atau bagaimana?". Entah bagaimana, saya menjawab, "Kalau kita pergi Haji, ok tak?". Suami terdiam, memandang saya dengan pandangan yang berteka-teki. Seketika, dia menjawab, "Anak-anak bagaimana? Yahya kan masih susu badan?".
"Yahya akan berusia setahun sepuluh bulan, cukup besar untuk putus susu. InsyaAllah, papa mama boleh jaga anak-anak kita. Saya rasa kalau kita nak pergi, tahun ini adalah yang terbaik. Sebabnya, tahun depan kan kita plan nak tambah baby, lepas tu mama papa kuat lagi nak jaga anak-anak. Kalau lambat kita tangguh, alamatnya kita kena tunggu anak-anak habis sekolah baru dapat pergi." Saya memberi jawapan dengan penerangan yang panjang lebar. "Kita daftar Tabung Haji dulu. Pas tu kita buat surat rayuan. InsyaAllah, jika ada rezeki kita, kita pergi tahun ini", saya menambah penjelasan selepas melihat kepada respon suami yang diam.
"Ok, jika betul kita nak pergi, kita pergi pakej jela, senang. Ikut Tabung Haji, peluang kita mungkin nipis. Ofismate saya ada pergi dengan pakej tahun lepas. Nanti saya tanya dia agensi apa, prosedur bagaimana", suami akhirnya memberi kata putus yang positif. Masya Allah, tiba-tiba rasa berdebar seluruh jiwa raga. Kami akan pergi Haji tahun ini? Persoalan yang memberi dua rasa, seronok dan takut.. seronok atas tercapainya impian selama ini, dan takut, adakah kami bersedia untuk menjadi tetamu-Nya.

Persediaan awal.
Setelah mendapat maklumat terperinci berkenaan dengan syarikat yang mengelolakan pengurusan Haji secara swasta, kami hubungi syarikat berkenaaan - Haji Harun Seh Umrah & Tours Sdn Bhd. Seperti sediamaklum, menunaikan Haji secara swasta, bayaran nya adalah berganda mahal berbanding dengan pakej muasasah Tabung Haji, namun kami teruskan juga memandangkan kedudukan syarikat yang kukuh, yang berjaya menghantar jemaah Haji ke Tanah Suci setiap tahun, dan bagi kemudahan pihak kami juga- penginapan yang berhampiran dengan masjid, bilangan jemaah yang kecil memudahkan untuk berinteraksi dengan mutawir dan tempoh waktu yang lebih pendek (25 hari) berbanding dengan muasasah Tabung Haji (40 hari).

Syarikat memaklumkan untuk booking, kami perlu membayar sebanyak amaun tertentu. Suami dengan segera membuat bayaran tersebut, dan di sini kami telah selangkah menuju ke target kami iaitu menunaikan fardhu haji pada tahun ini. Hati saya sangat berdebar-debar. Pertamanya saya risau, jika kami tidak berjaya melunaskan pembayaran, maka harapan itu terkubur; kedua, saya hampir tidak dapat membantu suami langsung untuk menjelaskan pembayaran - kerja saya tidaklah lumayan dan wang simpanan juga tidak banyak. Alhamdullilah, antara latihan Ramadan yang berbekas sehingga ke saat ini, adalah bangun awal sebelum fajr. Waktu yang sangat berharga itu saya manfaatkan sepenuhnya melalui solat tahajud, dan memohon supaya Allah swt menjemput kami ke Baitullah, memudahkan setiap urusan perjalanan ke sana dan menjadikan kami tetamu yang paling, paling, paling, paliiinggg istimewa. Ya, saya memohon agar dijadikan tetamu yang paling, paling, paling, paliiinggg istimewa, mengambil contoh dari doa yang ditulis oleh Prof Kamil melalui buku Travelog Haji nya.

Memandangkan kami telah membatalkan niat untuk membeli kereta baru, maka suami mengambil keputusan untuk membuat bayaran penuh kepada syarikat tersebut. Dengan ini, seawal akhir bulan March, secara tidak langsung, kami telah confirm tempat untuk menunaikan haji pada tahun ini. Allahuakbar, Subhanallah, maha suci Allah, tak tergambar bagaimana perasaan saya ketika itu. Gembira semestinya, takut dan terharu bercampur baur.

Untuk memantapkan persediaan ke Tanah Suci Mekah, pertama kali nya, saya baca kembali buku Travelog Haji Prof Kamil. Kemudian, seiring dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang sedang berlangsung, saya beli banyak jugak buku berkaitan dengan perjalanan Haji dan Umrah, secara ringkas juga secara detail. Antara saranan penulis-penulis buku berkaitan adalah memulakan, membiasakan gerakan fizikal, senaman, dan yang paling penting adalah berjalan/berjogging kerana kebanyakan ritual Haji melibatkan pergerakan fizikal berbentuk berjalan seperti bertawaf, bersaie, perjalanan dari Mina ke Jamrat untuk melontar. Jika seseorang tidak biasa dengan aktiviti berjalan, makanya, ritual tawaf, saie ini akan kelihatan amat berat dan membebankan. Penat saya memikirkan bagaimana saya perlu bergiat aktif dengan aktiviti senaman. Suami menyarankan agar pergi berjalan di taman berhampiran dengan rumah setiap petang, namun, saya selalu merasakan, aktiviti senaman di khalayak ramai adalah tidak bersesuaian dengan saya, yang memakai tudung labuh dan berjubah hitam setiap kali keluar rumah. Takkan saya nk berjogging dengan pakaian seperti ini. Untuk mengubah kepada pakaian senaman yang bersesuaian, meskipun mengikut kehendak muslimah, lagi la saya rasa janggal seperti berhipokrasi pula lagaknya, kerana saya pakai apa yang saya pakai untuk Allah swt, bukan untuk saya, makanya merubah penampilan untuk kepentingan diri rasa seperti tidak kena. Sekurang-kurangnya, itu apa yang saya rasa. Saya ada membeli basikal, dimana berjubah dan bertudung labuh tidak lah begitu awkward apabila berbasikal, namun masalah yang timbul pula adalah masa dan anak-anak. Payah untuk beraktiviti luar apabila ada anak-anak, yang perlu diperhatikan sentiasa. Akhirnya solusi yang saya capai ialah bersenam di rumah. Dimana saya bebas berpakaian senaman dan anak-anak bisa disibukkan dengan aktiviti biasa mereka seperti bermain lego. Saya mohon kebenaran pada suami untuk membeli treadmill. Alhamdullillah, permintaan diluluskan, dan dengan duit simpanan serba sedikit (yang saya simpan untuk menyertai Program Quran Intensive Bayinnah with Ust Nouman Ali Khan) saya laburkan membeli treadmill. Walaupon hati sedikit sayu, mengenangkan saya mengorbankan kelas yang saya berkehendakan sangat untuk pergi setelah sekian lamanya, namun Alhamdullillah, membeli mesin treadmill tersebut merupakan satu pelaburan yang tidak saya sesalkan. Saya manfaat sepenuhnya mesin tersebut, hampir setiap petang saya berjalan dan berjogging sejauh 3km, dan Alhamdullillah sangat membantu stamina saya ketika di Tanah Suci Mekah. Alhamdullillah.

Selain daripada persediaan fizikal, saya teruskan juga dengan aktiviti Tahajud, terusan berdoa supaya Allah swt permudahkan segala urusan kami di sana, dan menjadikan kami sebagai tetamuNya yang paling, paling, paling istimewa dan terusan membaca, dan mendengar ceramah youtube tentang perihal Haji dan bagaimana untuk mendapatkan yang terbaik daripada ibadah ini.

Penting untuk ada pengetahuan berkaitan Haji dan persediaan stamina kerana ini adalah bekalan. Sesesuai dengan firman Allah pada Surah Al-Baqarah, ayah 197:

“(Musim) haji adalah beberapa bulan yang dimaklumi, barangsiapa yang menetapkan niatnya dalam bulan itu akan mengerjakan haji, Maka tidak boleh rafats (berkata lucah), berbuat fasik dan berbantah-bantahan di dalam masa mengerjakan haji. dan apa yang kamu kerjakan berupa kebaikan, niscaya Allah mengetahuinya. Berbekallah, dan Sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa dan bertakwalah kepada-Ku Hai orang-orang yang berakal.” 

Perihal anak-anak, kami segera memaklumkan kepada mama dan papa akan hajat kami untuk menunaikan fardhu haji dan memohon jasa baik mereka untuk menjaga anak-anak kami. Alhamdullillah, mama dan papa sangat gembira dengan berita akan kami ingin menjadi tetamu Allah dan berbesar hati untuk menjaga cucu-cucu mereka.

Alhamdullillah. Selesai perkara yang kecil-kecil ini.  Timbul pula perkara besar, yang hampir saja merengut impian kami ke untuk ke Baitullah.  sambungan episod 2 insyaAllah ...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan