Selasa, 20 Oktober 2015

Kisah kami pergi Haji (part2)

Konfirmasi untuk menunaikan haji pada tahun ini telah dibuat seawal akhir bulan March. Kami suami isteri sangat teruja. Segala urusan berbentuk pasport, salinan sijil nikah, dokumen lain yang berkaitan, kami selesaikan seawal mungkin. Perbualan kami suami isteri juga banyak berkaitan dengan persiapan dan ekspektasi kami terhadap seluruh perkara haji ini. Namun memandangkan kami akur pada segala kemungkinan (menurut syarikat pengurusan, permohonan visa Haji hanya akan dibuka pada penghujung Syawal), maka kami simpan sahaja berita gembira ini pada diri kami dan Papa Mama. Tidak diwar-warkan secara umum.

Hari berganti hari, bulan berganti bulan. Ramadan pergi, Syawal disambut meriah dan akhirnya, tibalah Zulkaedah. Menurut syarikat pengurusan, tarikh pemergian kami ke tanah suci telah ditetapkan pada 19 September 2015, Sabtu,  3.30petang mengikuti penerbangan Saudi Air. Alhamdulillah, hujung minggu maka mudah untuk papa dan mama datang mengambil anak-anak dan menghantar kami ke airport tanpa perlu mengambil cuti dan sebagainya. Apabila ditanya berkenaan dengan perihal visa, syarikat memaklumkan bahawa segala dokumen berkaitan telah pun dihantar ke kedutaan, dan sedang diproses untuk kelulusan.


3 minggu sebelum berlepas.
Kursus Haji.
Sejujurnya saya risau. Melalui pembacaan, dinyatakan bahawa, Haji yang dikira, dinilai kemabrurannya adalah haji yang dibuat pertama kali. Haji yang kedua, ketiga dan seterus nya hanya merupakan perkara sunat, yang efeknya tidak sama dengan yang pertama kalinya. Maka, kami harus memaku ketat perjalanan haji pertama dan mungkin kesekian kalinya ini.  Pelajaran melalui maya, youtube, tidak sama dengan pelajaran secara realiti. Saya fikir yang realiti lebih meresap ke sanubari. Usai berakhir Syawal, saya google sehabis mungkin mana-mana kursus Haji yang akan dilaksanakan pada masa terdekat yang berhampiran. Alhamdullillah, terserempak dengan iklan Kursus Haji Intensif 2 hari kelolaan Masjid Besi, Putrajaya. Wah.. hampir sungguh dengan rumah. Segera saya hubungi pegawai yang berkaitan. Malang sekali respon yang diterima menyatakan pernyertaan untuk kursus telah lama ditutup. Sudah penuh, maklumnya. Oh, hampa rasa. Tidak berputus asa, saya hubungi semula pegawai berkenaan bertanya apa mungkin akan ada ulangan kursus yang berkaitan dalam jangka masa terdekat? Pegawai tersebut bertanya kepada saya, pernah pergi kursus haji yang lain atau tidak? Jika pernah, isi kandungan kursus sama sahaja. "Tidak. Dan saya sangat terdesak", respon saya. 2 jam kemudian dia hubungi semula, "Saya tukar venue ke bilik yang lebih besar. Puan buat bayaran pada akaun ini untuk confirm kehadiran".  Subhanallah, Alhamdullilah.
Pada 22 dan 23 Ogos, kami hadiri Kursus Haji Intensif di Masjid Besi, Putrajaya. Alhamdullillah. Banyak ilmu yang kami perolehi. Memang berbeza kelas maya dengan kelas realiti.




2 minggu sebelum berlepas.
2 minggu sebelum berlepas kami pulang ke Ipoh. Mama menyarankan agar kami menggunakan sahaja kain ihram, beg, dan barang-barang lain kepunyaan mereka. Tak perlu membazir membeli, katanya. Papa turut mengajar suami bagaimana memakai kain ihram dengan betul. Mama menghadiahkan saya 2 helai telekung, satu berwarna hitam dan satu berwarna putih. "Yang putih ini untuk dipakai waktu di Arafah. Arafah jangan pakai hitam", ujarnya. "Kenapa tak boleh pakai hitam ke, di Arafah?", saya bertanya. "Kepanasan kau nanti", balasan mama disambut dengan derai ketawa dari saya. Hahah.. tapi, serius, betul sangat apa pesan mama. Di Malaysia saya ketawa, di Arafah, terduduk saya menangis... huh, tak tipu panasnya, Subhanallah! Cerita lanjut tentang Arafah nanti di chapter akan datang, insyaAllah.


Petang Ahad kami pulang ke rumah dengan 2 beg besar, kain ihram dan lain-lain kelengkapan. 1/3 daripada barang-barang yang akan kami bawa ke Tanah Suci telah tersedia, tinggal lagi 2/3 sahaja yang merupakan kelengkapan harian kami seperti baju, seluar, telekung, baju tidur dan lain-lain. Keesokkannya, Isnin hingga Khamis, suami berkerja di luar daerah. Anak-anak masih kami hantar ke sekolah dan ini diuruskan oleh saya.

1 minggu sebelum berlepas.
Suami dah mula bercuti. Memandangkan pakej Haji kami cuma 25 hari dan kelayakan cuti haji untuk syarikat tempat dia bekerja adalah 40 hari, maka dia mengambil cuti genap 40hari, extra cuti seminggu sebelum pergi dan seminggu selepas balik. Bagus juga dia sudah mula bercuti sebab dapat la serba sedikit dia menolong menguruskan rumah yang akan ditinggal kan ini.

Sabtu, 12 Sept.
Syarikat agensi memaklumkan akan adanya taklimat khas berkenaan perjalanan Haji dan perkara berkaitan pada hari ini. Taklimat bermula jam 10pagi di Masjid Al-Hidayah, Shah Alam. Sedang kami sibuk bersiap untuk menghadiri taklimat, Mama telefon, "Ada wakil daripada Tabung Haji call. Dia tanya kamu nak pergi Haji ke tak?". Aik, saya merasakan kepelikan di situ. Kenapa pula Tabung Haji hubungi? Setelah talian dengan mama diputuskan, saya nyatakan kepada suami. Suami juga merasakan pelik, namun disebabkan kami akan berjumpa dengan pengurusan syarikat maka kami ignore sahaja perkara tersebut. Dalam kami sibuk-sibuk nak keluar rumah, telefon saya berdering semula. Ia panggilan wakil daripada Tabung Haji. "Puan memohon untuk pergi Haji, tetapi Puan dah batalkan pendaftaran Puan", maklum beliau. Ya, pertengahan tahun ini, saya batalkan pendaftaran Haji saya dengan Tabung Haji disebabkan telah yakin akan pergi melalui agensi swasta. "Ada masalah ke?", saya tanya. "Semua urusan masih melalui Tabung Haji, jadi kami tidak dapat mengeluarkan surat panggilan Haji Puan. Begini lah, Puan pergi ke pejabat Tabung Haji yang terdekat untuk selesaikan masalah ini". Saya terus menjadi keliru. Suami menyarankan agar kami segera ke Shah Alam dan berjumpa terus dengan wakil syarikat dan bertanya berhubung dengan perkara ini.

Sampai di Masjid Al-Hidayah, Shah Alam, kami bergegas bertanya kepada wakil syarikat, Hajah Raz berhubung dengan masalah yang berbangkit. "Tak de apa tu, jangan risau," ujar beliau. Menurut beliau, Tabung Haji dapat kuota tambahan sebanyak 5ribu untuk tahun ini. Maka, semua agensi swasta yang memohon visa melalui kedutaan disaran untuk memohon secara terus dengan Tabung Haji. "Tabung Haji telefon sebab pasport kita semua ada dengan mereka, Mereka nak isu kan visa Haji tu", tambah beliau lagi. Walaupon masih keliru, tetapi kami berpuashati dengan penerangan yang diberikan.

Di penghujung taklimat, Haji Harun, pemilik syarikat berkenaan menyatakan dengan tegas, "Ok, kita jumpa semula, minggu hadapan, 19 Sept di KLIA. Flight jam 3.30 petang, mesti berada di sana dalam jam 12 tengahari ya". Kata-kata terakhir beliau disambut dengan separa sorak dari kami, bakal hujjaj sekalian. Masing-masing kelihatan teruja dan seronok.

Selasa, 15 Sept.
Hajah Raz telefon. Ada masalah sedikit katanya. Berdebar sangat hati ini. Allahuakbar. Masalah adalah berkenaan visa. Kena pergi Tabung Haji selesaikan. Tabung Haji masih mahukan kami mendaftar sebagai mereka yang mahu pergi haji pada tahun ini. Memandangkan kami ke Klang, melawat kakak ipar yang juga pergi menunaikan ibadah haji pada tahun ini, maka kami singgah terus ke Tabung Haji Klang. Sampai di sana, ketika sedang menunggu giliran, kami terserempak dengan Hajah Raz, yang juga sedang menunggu giliran untuk berurusan dengan kaunter Tabung Haji. "Hajah buat apa di sini?", suami menyapa. "Masuk duit, 10ribu. Kena masuk duit 10ribu. Tabung Haji nak tengok, nak lepaskan visa. Kalau tak diorang tak nak isu visa", jelas Hajah Raz. "10ribu? Allahuakbar", respon saya secara spontan. "Alamak, mana nak cari", balas suami. "Takpe, korang daftar dulu haji lepas tu baru fikir pasal 10ribu ni," Hajah Raz mencadangkan. Makanya, kami berdua daftar untuk pergi Haji dahulu. Tarikh giliran haji kami mengikut kepada pada surat tersebut adalah pada tahun 2088. Subhanallah, dah seratus lebih umur tu.. kami berdua ketawa. Namun di sepanjang perjalanan pulang dari Kelang ke Putrajaya, kami masing-masing berdiam. Masing-masing memikirkan mana nak cari 10 ribu, atau jumlahnya 20ribu dalam masa yang sangat singkat ini.

Rabu, 16 Sept.
Hari ini cuti umum Hari Malaysia. Memandangkan anak-anak tidak bersekolah, selepas syuruk saya kembali tidur. Jam 9pagi bangun, dan dikejutkan dengan soalan daripada Zahra, "Ummi tak jadi pergi haji ya?" "Ha.. kenapa pulak?" "Walid yang cakap." "Walid cakap macam tu ke?" "Erm tak tahu.." "Walid kat mana?" "Ada kat bawah tengah buat kerja." Saya ambil masa bersihkan diri, mengemas bahagian atas, seketika kemudian baru turun. Kelihatan suami sedang tekun menaip sesuatu pada kekunci laptop. Saya terus masuk ke dapur, seketika suami datang menyertai saya di dapur. "Esok saya masuk kerja balik. Saya tak boleh cuti lama-lama, leave dah tak ada", ujar dia. "Jadi kita tak jadi pergi ke?" tanya saya. "Tak tahu", jawab suami. "Saya tak ada sumber 20ribu", tambahnya lagi. "Tapi kita tak boleh putus asa. Tiket kapal terbang semua kan dah ada. Macam mana tu?"saya cuba menyangkal. "Masalah nya visa tak ada, macamana nak masuk Saudi." "Tak. Kita tak boleh putus asa. Siti Hajar berlari 7 kali Safa-Marwah nak dapat kan air untuk Ismail. Kita tak bole give-up macam ni je", balas saya yang disambut diam oleh suami. Saya naik ke atas dan meneruskan mengemas barang-barang. Suami pula meneruskan kerja-kerja pejabat dia.

Saya cuba menjadi positif tetapi memandangkan respon suami yang seperti berpatah harapan, hati saya jadi tidak tentu hala. Saya ingat akan ceramah Imam Suhaib Webb berkenaan dengan solat Tahajud, mereka yang melakukannya ikhlas kerana Allah swt, dan meminta sepenuh hati tidak akan disiakan permintaan nya. Hampir setiap malam saya minta agar dijadikan kami tetamu yang paling, paling, paling istimewa, mana mungkin Allah menghampakan permintaan saya nan satu ini. Saya yakin kami akan pergi, tetapi mengenang akan nilai 20ribu itu, mana pulak nak dicari..

Untuk tenangkan hati, saya baca Al-Quran, dan bagai kan Allah sedang berbicara dengan saya, saya dipertemukan dengan ayat ini:
Jika Allah menolong kamu, maka tak adalah orang yang dapat mengalahkan kamu; jika Allah membiarkan kamu (tidak memberi pertolongan), maka siapakah gerangan yang dapat menolong kamu (selain) dari Allah sesudah itu? Karena itu hendaklah kepada Allah saja orang-orang mukmin bertawakal. - Surah Ali Imran, ayat 160.

Tawakkatullah. Kata kunci di situ. Di luar pengetahuan suami, saya hantar mesej kepada Papa. Saya  mahu Papa dan Mama berdoa, berdoa supaya semuanya dipermudahkanNya. Doa, selain di buat oleh diri sendiri pada waktu-waktu tertentu, doa ibu bapa juga adalah mustajab.



Seketika kemudian, mama telefon, "Dedek, kenapa?". "Ada masalah sedikit la Ma", kata saya dan saya pun menceritakan selanjutnya masalah yang kami hadapi. "20ribu tu untuk apa sebenarnya?" "Entahla Ma, kami pun tak faham. Tabung Haji nak tengok baki akaun untuk diorang isu visa. Kena ada 10ribu dalam akaun sekurang-kurangnya." "Tabung Haji ambil ke tak?" "Tak. Parking je katanya. Dia nak tengok balance. Entahla.. kami pun pening. Dah la singkat sangat waktu nya ni." "Macam tu pulak. Banyak juga 20ribu tu. Dah tu nak buat macamana ni?" "Wallahua'lam Ma. Doa je kami ada sekarang ni. Mohon Mama Papa doa jugak la. Supaya permudah semua." "Ok, nanti Mama call Sya suruh dia berdoa jugak.". Talian dengan Mama diputuskan. Lega serba sedikit selepas dapat berkongsi masalah dengan Mama.

Malam tu selepas isyak, saya baring-baring di atas katil. Anak-anak masih ligat bermain. Suami datang lantas bertanya, "Dah habis kemas barang?" "Ada sikit je lagi", jawab saya. "Pergi ke?" tanya dia lagi. "Pergi", jawab saya disambut dengan ketawa kami berdua. Sedang kami berdua berborak hal yang tidak berkaitan, telefon saya berdering. Mama di talian. "Dek, kat mana? Mat ada kat situ tak?" "Dalam bilik. Ada ni Abg Mat." "Ha.. pasang speaker. Kami nak cakap sikit." Selepas loud speaker dipasang, mama berbicara, "Kami baru balik masjid ni. Ada ngaji Quran tadi. Kami dah bincang-bincang hal korang. Rasa sedih pula jika kamu berdua tak dapat pergi haji. Papa decide untuk bantu dengan 20ribu tu. Esok kami sampai KL, nanti kita pergi Tabung Haji sama-sama transfer duit. Yang ini kita usaha, yang selebihnya kita doa lagi supaya Allah permudahkan." Putus je talian dengan Mama, berderai-derai air mata saya. Allahuakbar, sejujurnya saya tak pernah menyangka yang Papa dan Mama akan berusaha membantu. Saya ni seorang anak yang degil, selalu melawan kata. Acapkali juga saya merasakan yang saya ini umpama kambing hitam dalam keluarga, sebab pendapat saya jarang diambil pakai. Sungguh, saya amat-amat terharu. Melihat saya sedih menangis, suami berkata, "Tahu tak apa, perjalanan Haji kita sebenarnya dah bermula. Ini adalah antara ujiannya..."

Khamis, 17 Sept.
Kami ambil Papa dan Mama di KL Sentral, kemudian bergegas menuju ke Bangunan Tabung Haji Jalan Ampang untuk urusan pemindahan kewangan. Selesai transfer, suami menghubungi Hajah Raz memaklumkan bahawa kami telah selesai melakukan semua syarat yang ditetapkan oleh pihak Tabung Haji untuk mengeluarkan visa - daftar Haji dengan jumlah 10ribu dalam setiap akaun. Hajah Raz memaklumkan jika semua syarat telah dipenuhi, maka sekarang kita tunggu sahaja. InsyaAllah, visa akan sempat dikeluarkan paling lewat pagi Sabtu.

Jumaat, 18 Sept. 
Masih tidak ada sebarang berita tentang visa.

Sabtu, 19 Sept.
Tunggu dan masih menunggu. Hajah Raz kata jika visa dapat dalam jam tengahari, dia akan uruskan perubahan flight penerbangan kami dari jam 3.30petang ke jam 6.20petang. Ada satu lagi penerbangan Saudi Air ke Jeddah jam 6.20petang pada hari yang sama. Namun jika masih terlewat, urusan penerbangan akan dibawa ke hari esoknya.
Tengahari dan kami masih belum menerima sebarang berita. Saya masih menangis mengenangkan jika kami tak jadi pergi. Suami ajak keluar untuk makan tengahari, tetapi saya menolak. Tak rasa nak keluar, tak rasa juga nak makan. Makanya, dia keluar berempat dengan anak-anak. Peluang berseorangan saya manfaat kan dengan bersolat. Solat dan solat, akhirnya saya sujud memanjat doa. Jika selama ini saya berdoa semoga Allah swt permudahkan perjalanan kami, jemput kami suami isteri menjadi tetamu Nya yang paling, paling, paling istimewa, tetapi pada saat dan tika itu, saya mohon akan keredhaan hati. Dalam esakan, saya pohon agar Allah swt beri saya kekuatan untuk redha di atas segala ketentuanNya, andai kata kami tak jadi pergi, jangan la hati ini bersu'uzon, bersangka buruk terhadapNya, saya mohon untuk melihat situasi ini sebagai satu rahmat yang terbesar dariNya, pelajaran untuk memantapkan iman saya. Usai berdoa, Alhamdullillah, hati kembali menjadi tenang.
Lewat petang, dalam jam6, kami dapat mesej dari Hajah Raz. Visa telah selamat diisu! Allahuakbar. Sekali lagi berderai-derai air mata saya. Airmata kesyukuran. Lahawlawala quwataillabillah, tiadalah dayaku tanpa pertolonganMu, Ya Allah. Hati tidak putus-putus berzikir, Alhamdullillah. Hajah Raz turut memaklumkan bahawa waktu penerbangan adalah jam3.30 petang, melalui pesawat Saudi Air, mohon untuk berada di airport seawal jam 12 tengahari esok.


Malam itu, Mama, Papa, Sya dan suami datang tidur di rumah kami. Esok kami akan menempuh satu perjalanan yang panjang, setelah satu sesi pra-perjalanan yang tidak kurang panjangnya.

Ahad, 20 Sept.
Alhamdullillah atas rahmatnya. kami 'dijemput' ke Baitullah dengan menaiki pesawat Saudi Air jam 330 petang. Kami mungkin lewat sehari dari jadual asal. Tapi untuk berada di dalam perut pesawat dan membayangkan akan impian kami yang bakal menjadi kenyataan, Subhanallah, tak tergambar perasaan, tak terungkap dengan kata-kata. Kegembiraan untuk pergi menyambut panggilan Allah, LabaikAllah, melebihi perasaan sedih meninggalkan anak-anak kerana kami tahu anak-anak akan dijaga baik oleh Mama dan Papa.




Perjalanan mengambil masa 7 jam, dari Kuala Lumpur ke Jeddah. 5 jam pertama diisi oleh kami dengan membaca, suami sibuk membaca kembali nota-nota manasik Haji, manakala saya membaca Al-Quran. 2 jam kemudiannya kami isi dengan tidur. Alhamdullillah, kami selamat tiba di Lapangan Terbang King Abdul Aziz, Jeddah pada jam 830 malam waktu Saudi. Jika di Malaysia waktu tempatan adalah 130 pagi.



Urusan immigresen untuk kemasukan kami jemaah Haji mengambil masa 5jam. Usai jam 2pagi baru kami dapat keluar daripada airport, menaiki bas munuju ke penginapan kami di Aziziyah. Di dalam bas, saya duduk bersebelahan dengan jemaah Haji yang pada mulanya saya fikir daripada kumpulan yang sama. Setelah berkenalan, saya dapati dia daripada kumpulan Haji yang lain, menumpang dengan bas kami, memandangkan mereka hanya 8 orang sahaja (yang tertinggal, selebihnya telah selamat tiba dengan penerbangan hari sebelum). Kumpulan kami juga terbahagi kepada dua, 30 antara kami telah selamat sampai semalam, menaiki penerbangan asal, manakala kami, yang lambat diisu visa nya juga seramai 30 orang, selamat tiba pada hari ini.
Berbual dengan dia, yang saya terlupa bertanya akan namanya, kelewatan dia berbanding dengan ahli kumpulan yang lain adalah disebabkan dia juga menghadapi masalah yang sama dengan kami. Alhamdullillah, seperti kami, lewat petang juga mereka dikhabarkan bahawa visa telah selamat diisu. "Alhamdullillah, datang dari mana, dengan siapa?" mendengar dia berbicara dengan loghat utara yang pekat, saya bertanya. "Kami datang dari Taiping. Dari Khamis hari tu dah ada kat KL. Sebab ingat pergi semalam kan. Kami berlima, saya, suami, makcik 2 orang, dan abang ipar." "Alhamdullilah, semua pergi sekali la ni?" "Tak jugak, patutnya kami berenam, dengan kakak ipar. Tapi dia tak dapat pergi." "Ha, kenapa dia tak dapat pergi?" kehairanan saya bertanya. Terperanjat juga mendengar ada yang tak dapat pergi. "Agent kami cakap masa nak print visa tu sistem down. So tak dapat la nak print had kakak ipar tu punya. Tak dapat la dia pergi, visa takda." "Allahuakbar. Belum rezeki lagi tu," balas saya perlahan. Kedua kami kemudian terdiam. Dalam hati saya berzikir sebanyak-banyaknya, memanjat kesyukuran. Betulla kata orang, Haji ni tiket jemputan dari Allah. Ada duit, sihat tubuh badan, namun jika belum mendapat jemputan, maka belum boleh jadi tetamuNya.

Jam 4pagi masa Saudi, kami selamat tiba di penginapan sementara kami di Aziziyah. Sampai sahaja, kami terus Subuh berjemaah bersama ahli kumpulan yang lain. Selepas Subuh ada sedikit tazkirah, kemudian berehat. Hari ini telah Isnin, esok Selasa merupakan permulaan perjalanan ibadah Haji kami, di mana kami akan bergerak ke Arafah. Kami memilih melaksanakan Haji Ifrad, sesuai dengan tempoh masa berihram yang tidak begitu panjang.



Kisah perjalanan ritual Haji kami akan disambung pada episod seterusnya, insyaAllah.


2 ulasan: