Khamis, 30 April 2015

Back2blog

Terpanggil saya untuk kembali menulis di arena blogging adalah kerana dua sebab.

Pertamanya, terlalu banyak buah fikiran yang acap kali hadir di dalam kepala, berlegar-legar berhari-hari dan ada yang kadangnya berpanjangan hingga ke minggu, yang akhirnya hilang dimamah waktu. Cetusan beberapa buah fikiran yang pada pendapat sendiri ianya bernas untuk dikongsi bersama, atau setidaknya buah fikiran ummi yang perlu diteliti kebernasannya oleh anak-anak ummi. Perkara tentang hidupan seharian, dari perspektif seorang Muslimah surirumah.

Keduanya, cetusan dari beberapa artikel dan pendapat orang yang berilmu, bahawa seseorang perlu menulis untuk merekodkan sejarah diri, untuk tatapan anak cucu. Berapa ramai antara kita yang tertanya-tanya siapa datuk mereka, apa perkara yang dilakukan oleh nenek mereka, dan ada juga yang tertanya-tanya apa sebenarnya peranan dan objektif pemikiran ibu dan bapa mereka sendiri. Dalam budaya kita, ini mungkin kelihatan sebagai perkara 'seronok sendiri' namun kebanyakan legasi atau empayar yang bangkit di dunia ini adalah hasil daripada wawasan datuk atau moyang yang ditulis secara jelas. Mereka memandang kehadapan, apa anak cucu saya perlu jadi, atau setidaknya, apa anak cucu saya perlu pelajari daripada saya.

Justeru itu, saya berazam untuk kembali menulis- menulis sebuah risalah untuk masa depan. Untuk legasi saya tahu apa peranan kita sebagai seorang Islam Melayu di era dunia penuh fitnah ini. Untuk anak-anak ummi, baca dengan mata hati. Andai di dunia ini kita tidak bersua muka, ummi berdoa, anak-anak cucu ummi kekal dalam landasan ini, landasan Nur Islam, supaya kelak kita tetap bersua di ruang masa statik, bernama Jannah. InsyaAllah. Biiznillah.