Jumaat, 1 Mei 2015

PbaKL rant

Alhamdullillah, anjakan saban tahun menjadikan saya memandang masa pada perspektif yang berbeza. Mungkin zaman muda belia saya banyak dihabiskan dengan perkara keduniaan yang berbentuk serius: persekolahan menengah - pengajian universiti - peringkat post-graduasi - seterusnya ke alam kerjaya, menjadikan membaca bukanlah agenda penting dalam hidup. Saya masih ingat bahawa zaman persekolahan minat membaca adalah pada karya-karya sejarah, seperti kisah-kisah para Nabi, kisah penjajahan Jepun dan pasca kemerdekaan di Tanah melayu, dan diikuti dengan karya fiksyen moden. Dan sedihnya, minat membaca itu dimatikan kerana kurangnya sokongan keluarga. Emak cukup marah apabila melihat saya membaca buku cerita dan bukannya mengulangkaji pelajaran.

Berkenaan dengan arena penulisan, saya memang bercita-cita mahu jadi penulis semenjak di bangku sekolah lagi. Malah pernah melakarkan beberapa cerita pendek, pernah diterbitkan di majalah Dewan Pelajar semasa saya berada dalam darjah 4, dan semasa di Tingkatan 4, saya bergiat cergas dengan Sidang Redaksi Majalah Sekolah, dan turut mewakili sekolah untuk Pertandingan Menulis Cerita Sains Fiksi anjuran bersama Shell, namun gagal meraih sebarang tempat. Sekali lagi cita-cita ini dimatikan kerana kurangnya sokongan keluarga. Kelihatannya, kerjaya sebagai seorang penulis tampak selekeh, tidak gah, dan ternyata, tidak lumayan. Makanya saya memilih sains tulen sebagai penentu masa depan. Saya masih menulis, semasa di peringkat pengajian tertinggi. Cerpen-cerpen remaja, berkisar tentang perkara cinta, dan saya titipkan ke majalah tempatan bertema keremajaan. Tiga, antara cerpen-cerpen tersebut mendapat perhatian pihak editor, dan diterbitkan. Alhamdullillah.

Namun dek kerana kesibukan alam kerjaya, menulis saya tinggalkan. Dan seusai dengan adanya blog, saya menulis semula, namun dalam bahasa rojak santai melaporkan tentang kehidupan seharian, aktiviti hujung minggu bersama keluarga, seperti tema blog kekeluargaan yang lain. Isinya peribadi, tiada isu penting apatah lagi pelajaran untuk diteladani kecuali sebuah coretan kenangan. Sekali sekala, cacatan tersebut dibaca kembali, apabila timbul rindu pada masa lalu.

Jaringan media sosial berkembang bercambah-cambah bermula dari Facebook, ke Twitter dan Instagram, dan pelbagai platform lain, menjadikan blog terabai. Pengisian masa semakin terhad dek kebanjiran media sosial yang mencuri masa-masa tersebut. Di suatu ketika, keadaannya sangat memualkan, dan ketepuan yang melampau menjadikan saya meninggalkan media sosial tersebut satu demi satu. Ianya bingar, seperti keadaan traffik yang sangat bising. Semua orang mahu berbicara, semua orang punyai pendapat, semua orang menjadi bijak pandai, mendadak dan segera.

Dan masa menjadi panjang kembali, dan saya bermetamorfosis, kembali menjadi seorang pembaca. Alhamdullillah. Mungkin juga saya ketemu genre yang bersesuaian dengan jiwa, membaca menjadi seperti dadah, yang sangat menggiankan. Dari satu buku ke satu buku, kebanyakannya bertemakan travelog kerohanian, menjadikan saya terinspirasi dan berubah. Begitu kuat kuasa sebatang pena.

Sejak lima tahun kebelakangan, pbakl adalah antara acara highlight tahunan yang dinanti-nanti, mesti pergi. Beratus ringgit dihabiskan membeli buku, kebanyakkannya berunsur kerohanian dan keagamaan. Alhamdullillah, puas hati. Seronok. Dan apabila berada pada kawasan buku seluas padang dan kelompok manusia seperti lokust di sawah, mata akan tidak dapat tidak untuk memandang kepada genre buku apa yang menjadi sambutan pengunjung. Malahan terdapatnya carta buku terlaris yang menjadikan kita nampak jelas buku apakah yang diminati oleh para pembaca semasa.

Saya pernah didatangi oleh seorang sahabat bertanya tentang buku apa yang berbaloi untuk dibaca. Beliau jujur menyatakan bahawa beliau bukan sahaja tidak minat membaca malahan masa adalah terlalu padat untuk diisi dengan aktiviti membaca. Satu sahaja jawapan saya, ringkas dan saya yakin ia padat: Al-Quran. Ya, anak-anak ummi, sesibuk mana pun kita, ambil masa baca Al-Quran, baca dengan terjemahan. Dan baca dengan kefahaman.