#ceritangaji
#malaysiangaji
#ceritaQu
#myQuranstory
Bismillah..
Alhamdulillah, hari ini,
genap 4 kali khatam membaca Quran dan terjemahan untuk tahun ini.
Alhamdullillah, Lahawlawala Quwatailla billah.
Cerita saya dengan Al-Quran:
Hubungan saya dengan Al-Quran pada awalnya
boleh diibaratkan sebagai hubungan yang hadir tanpa perasaan. Ia umpama
kewajiban yang perlu saya lunaskan sebagaimana kewajiban solat dan berpuasa di
bulan Ramadan. Semasa menuntut di Universiti, saya membaca Al-Quran hampir setiap
hari selepas solat maghrib (sementara menanti masuk waktu Isyak), namun begitu,
sejujurnya, saya tidak faham apa yang saya baca kerana saya membaca mushaf
tanpa terjemahan. Pada bulan Ramadan ketika di tahun 2 pengajian, saya membeli
Quran terjemahan, Alhamdullillah, berjaya menghabiskan bacaan nya namun,
disebabkan membaca tanpa referral dengan sumber yang lain, saya masih tidak
dapat memahami apa yang saya baca. Namun
saya terus kekal membaca al-Quran, kerana saya ingat sangat dengan pesan
Ustazah saya di sekolah menengah, jika mahu ketenangan jiwa, bacalah Al-Quran.
Makanya, saya baca, dan semakin dekat dengan musim peperiksaan, makin banyak
saya baca. Sepanjang 5 tahun pengajian, Alhamdullilah, hampir 5 kali juga saya
khatam Al-Quran. Namun begitu, memandangkan saya tidak faham apa yang saya
baca, saya tidak dapat beramal dengan Al-Quran tersebut.
Setelah tamat pengajian, dan masuk ke alam
pekerjaan dan rumahtangga, Al-Quran semakin jauh dengan saya. Alasannya, saya
sibuk. Saya hanya meluangkan masa membaca Surah Yaseen pada malam Jumaat, dan
surah-surah pendek yang lain bila berkelapangan. Kondisinya masih sama, membaca
tanpa mengambil tahu apa makna bacaan tersebut. Membaca sekadar ada. Di
penghujung tahun 2009, saya jatuh sakit. Berbulan berulang alik ke hospital
untuk rawatan. Sakit itu mengembalikan roh saya kepada Pencipta, Allah swt.
Saya sedar hanya Allah swt tempat mengadu dan memohon pertolongan. Saya mula
kembali membaca, bukan sahaja Al-Quran, tetapi juga buku-buku agama lain untuk
menambahkan ilmu yang telah sekian lama saya pinggirkan. Saya juga mula
menyertai program-program keagamaan dan bermula dengan penyertaan saya ke
Konvensyen Bidadari 2012, saya sangat terinspirasi untuk menjadikan Al-Quran
sebagai sahabat baik saya. Saya ingat sangat pesanan Sis Wardina Saffiyah,
salah seorang daripada pembentang pada konvensyen tersebut, yang menyarankan
agar kita wanita, yang suka membawa tas tangan ke mana-mana, agar memasukkan
satu Al-Quran kecil supaya ia boleh dijadikan bahan bacaan di mana sahaja kita
berada dan kita tidak membuang masa dengan perkara sekeliling. Selesai
konvensyen, perkara pertama yang saya buat adalah membeli sebuah Al-Quran
terjemahan bersaiz mini, dan Alhamdullillah, Al-Quran itu saya bawa sentiasa di
dalam tas tangan saya.
Bermula tahun 2013, saya berazam untuk
menghabiskan bacaan Al-Quran dan terjemahan sebanyak 2 kali setahun.
Alhamdullilah, Allah izinkan, bukan 2 tetapi 3 kali pada tahun tersebut. Saya
juga berazam untuk menghafal surah-surah di Juzzuk Amma, namun hajat untuk
menghafal surah-surah pada Juzzuk Amma itu seringkali tertangguh. Sukar betul
rasanya. Pada perkiraan saya, mungkin menghafal adalah sukar kerana saya tidak
faham Bahasa Arab. Lantas, harapan baru dalam hati adalah untuk belajar Bahasa
Arab Al-Quran.
Tahun berikutnya 2014, saya berazam untuk
menghabiskan bacaan Al-Quran dan terjemahan sebanyak 4 kali setahun, iaitu
khatam setiap 3 bulan sekali. Saya masih menanam azam untuk mempelajari Bahasa
Arab Al-Quran, dan Alhamdullillah, hajat hati dimakbulkan Allah, saya
berkesempatan untuk mengikuti Kursus Intensif Bahasa Arab Al-Quran yang
dianjurkan oleh Bayyinnah Institute di Masjid Al-Falah, Subang Jaya. 10 hari,
banyak juga yang saya pelajari, namun usaha untuk menghafal surah-surah tertentu
masih juga tidak berhasilan. Saya cuba menghafal 10 ayat pertama Surah Al-Kahfi
dan setelah ditasmik, didapati bacaan saya agak lemah dari segi tajweed.
Setelah itu saya tekad, saya mesti belajar tajweed untuk melancarkan bacaan dan
memudahkan saya menghafal. Alhamdullillah, seperti kata hadiths riwayat Bukhari
dan Muslim, jika kita berjalan menuju ke Allah swt, Allah akan berlari menuju
ke kita.. saya dipertemukan dengan Kursus Intensif Tajweed 5 hari kelolaan
Tajweed Made Easy Academy (@TMEAG). Alhamdullillah, saya sangat bersyukur
dengan akademi ini. Kelas tajweed tidak tamat pada 5 hari itu sahaja tetapi
diteruskan dengan kelas pengajian Al-Quran secara online. Kelas ini adalah
untuk muslimah, dengan tenaga pengajar yang bertauliah dan saya banyak belajar
untuk mempercantikkan bacaan mengikut hukum tajweed yang betul. Tahun 2014 ini
juga, saya berjaya menghabiskan bacaan Al-Quran dan terjemahan sebanyak 5 kali,
iaitu lebih 1 kali daripada target asal.
Tahun ini saya berazam untuk khatam
Al-Quran dan terjemahan sebanyak 6 kali, iaitu khatam setiap 2 bulan.
Alhamdulillah, sehingga ke hari ini masih mengikut schedule yang ditetapkan.
Lahawlawala quwatailla billah.
Saya juga telah mula menghafal ayat-ayat
tertentu dalam Al-Quran dan sekarang telah mula kembali untuk menghafal Juzzuk
Amma. Masalah yang saya hadapi adalah perkara tasmik. Apa yang saya lakukan
untuk menghafal ialah, saya akan hafal, kemudian merekodkan bacaan saya dan
mendengarkan kembali dan menyemak samada bacaan saya itu betul atau tidak dari
segi hukumnya. Kaedah ini mudah dan efektif, tetapi kurang memotivasi. Saya
rasa saya perlu kepada guru yang sebenar untuk membantu saya menghafal
Al-Quran. Setiap kali selepas bersolat, saya selitkan du’a agar perjalanan saya
untuk menghafal Al-Quran dipermudahkanNya, dan Alhamdullillah, baru-baru ini
saya bertemu dengan Akademi menghafal Al-Quran untuk muslimah secara online.
Alhamdullillah, syukur sangat. Saya harap saya akan berjaya untuk menghafal
Al-Quran.
Sebagai seorang surirumah, dengan 3 orang
anak yang sedang membesar, cabaran utama saya adalah masa dan mobiliti. Alhamdullillah,
dengan kemudahan internet saya manfaatkan untuk mendekatkan diri saya dengan
Allah swt dan Al-Quran. Saya percaya Al-Quran adalah satu-satunya sumber yang
mampu untuk melembutkan hati dan membentuk sahsiah diri. Pengalaman saya
sendiri: Di suatu petang, seusai selesai membaca Al-Quran setelah solat Asar,
saya masuk ke dapur untuk menyediakan makan malam. Tiba-tiba pintu diketuk dan
anak-anak yang membukanya menyatakan terdapat seorang peminta sedekah di muka
pintu. Saya menyuruh anak sulung saya untuk pergi mengambil dompet, dan
memandangkan saya baru sahaja ke pasar pagi itu, duit berbaki adalah RM7, RM5
dan 2 keping RM1. Saya beri semua wang yang berbaki, dan sebelum dia beredar,
saya teringat akan kisah di dalam Surah Al-Insan, lantas bertanya kepada beliau
adakah sudah makan atau belum? Beliau menjawab, belum, dan memandangkan saya
sudah selesai memasak, maka saya bungkus sedikit makanan kepada beliau. Beliau
kelihatan sangat bersyukur dan gembira, dan saya berharap anak-anak juga
mengambil pelajaran daripada situasi tersebut. Alhamdullillah atas ibrah
daripada Al-Quran, saya merasakan jika saya tidak terdedah kepada pelajaran
dalam Al-Quran saya yakin, saya hanya akan memberi peminta sedekah itu RM2, dan
selebih nya menyimpan untuk diri sendiri.
Semoga perkongsian saya ini dapat memberi
inspirasi dan motivasi (terutamanya kepada anak-anak saya sendiri) untuk kita
kembali kepada Al-Quran, membaca dan beramal melaluinya. Saya juga berharap
untuk terus istiqomah dengan perjalanan saya bersama Al-Quran dan semoga
Al-Quran kelak akan menjadi saksi saya di akhirat kelak. Yang terbaik datangnya
daripada Allah swt, dan yang buruk datangnya daripada diri saya sendiri.
Assalamualaikum Neeza, boleh tak saya nak tau nama akademi online tu? Tk.
BalasPadamWalaikumsalam Emmy, its Misk Academy. Boleh chk their website www.miskacademy.com. Harap ini membantu. :)
Padam