Ahad, 9 Julai 2017

Hati-hati dengan si pengumpat

Bismillah..

#pesanbuatanak
#titipancintamenarikkesyurga
#hatikehati

Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pengumpat, pencela,
Yang mengumpulkan harta dan berulang-ulang menghitung kekayaannya;
Ia menyangka bahawa hartanya itu dapat mengekalkannya (dalam dunia ini)!
Tidak! Sesungguhnya dia akan dicampakkan ke dalam "Al-Hutamah".
Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui, apa dia "Al-Hutamah" itu?
(Al-Hutamah) ialah api Allah yang dinyalakan (dengan perintahNya), -
Yang naik menjulang ke hati;
Sesungguhnnya api neraka itu ditutup rapat atas mereka.
(Mereka terikat di situ) pada batang-batang palang yang melintang panjang.
--- Surah Al Humazah, 104:1-9.

Pagi ini, saya tunduk sujud kepada Nya dengan memanjat doa agar dijauhkan dari bersifat mengumpat, mencela, mencaci and mengeji. Naudzubillahi min dzalik. Saya mohon Allah swt melindungi hati dan lidah saya dari berkata buruk tentang orang lain, juga saya mohon teramat sangat supaya Allah menjauhi saya dari golongan manusia pencela, pengumpat, pencaci dan pengeji. Sebab golongan ini berhati toksid, penuh keladak dan bergaul dengan mereka membahayakan, bimbang racun itu tertular ke hati sendiri.

Saya juga titipkan doa kehadrat Allah swt supaya anak dan zuriat turut dilindungi daripada bersifat sedemikian.

Wahai anak-anak tersayang, jika kamu terjumpa golongan ini, yang suka berkata buruk tentang si fulan dan si fulanah yang juga merupakan sahabat kamu, hindar diri kamu jauh-jauh dari dia. Kerana jika dia bisa bercerita keburukan si fulan-fulanah di hadapan kamu, tidak mustahil, dia juga bisa bercerita tentang keburukan kamu kepada si fulan dan si fulanah yang lain.

Anak-anak tersayang, jaga lidah kamu daripada berkata buruk tentang orang. Ingat pesan Allah dalam surah Al-Hujurat, 46:12,

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.

Ayat ini dimulai dengan "Wahai orang-orang yang beriman", makanya jika kita mahu menjadi di kalangan mereka yang mempunyai iman, patuhi la perintah Allah dalam ayat ini. Zaman sosial media ni kerap kali kita terdorong untuk mengintip status-status orang yang kemudiannya kita bersangka-sangka sendiri. 'Eh, dia kata tentang aku kah?', yang akhirnya mencetuskan perbalahan. Juga jika kelak kamu punya akaun sosial media sendiri, hindari daripada menulis status-status yang bersifat cryptic, yang menyebabkan orang tertanya-tanya, apa atau siapa yang dimaksudkannya.

Anak-anak tersayang, ingat juga pesan Allah swt dalam Surah Al-Furqan, 25:20,

... dan Kami jadikan sebahagian dari kamu sebagai ujian dan cubaan bagi sebahagian yang lain, supaya ternyata adakah kamu dapat bersabar (menghadapi ujian itu)? Dan (ingatlah) adalah Tuhanmu sentiasa Melihat (akan keadaan makhluk-makhlukNya).

Setiap manusia itu adalah ujian kepada kita. Peel dia mungkin berbeza, tingkah laku dia mungkin pelik, fikiran dia mungkin lebih kompleks daripada fikiran kita yang simple. Tapi ketahuilah perbezaan tersebut bukan lah untuk merasakan kita lagi bagus dari mereka, bukan juga untuk kita tempik melenting. Bersabar.. kerana Allah swt itu sedang melihat.

Dan anak-anakku, berdoakan lah untuk mendapat pasangan yang baik dan beriman, yang mampu membawa kita ke jalan yang benar, seperti Walidmu. Ummi suatu ketika dahulu suka juga berbicara tentang perkara orang, namun ditegur oleh Walid atas dasar kasih sayang beliau pada Ummi.
    Ummi: Banyak duit jiran beli kereta baru nampaknya, bang.
    Walid: Aih, buat apa dihitung harta orang. Bukan boleh dapat ke kita pun.. biarla dia..
Teguran Walid mungkin kelihatan tajam dan sinis, namun ia melekat di hati Ummi. Sekiranya ia bukan perkara penting tak perlu dibual bicara. Berkata tentang orang boleh mengeruhkan hati, sukar kelak untuk membaca Quran apatah lagi menghafal. Mungkin juga nanti ayat-ayat yang pernah dihafal bisa hilang dalam ingatan sebab hati bertompok hitam lantaran terlalu suka berkata tentang perihal orang.

Seperkara lagi Anak-anakku, tuntut ilmu, perbaharui ilmu yang sediaada, jangan pernah jemu. Seperti kata Imam Shafie, "Tatkala kamu rasa lelah lalu mengalah dalam menuntut ilmu, ketahuilah saat itu kamu telah tadah menyerah untuk hidup dalam kebodohan". Selagi hayat dikandung badan, belajar.. tiada yang lapuk dalam ilmu Islam. Kita disini bertujuan..

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. Adz-Dzaariyaat 51:56

Dan tujuan tersebut hanya boleh dipenuhi dengan belajar dan berilmu.

Pesan ini juga untuk Ummi mu.. yang punya banyak kelemahan dan kekurangan. Yang sedang bergelut berjihad untuk miliki sebuah hati yang qolbun salim.

Ampuni dosaku ya Allah, dosa yang kulakukan secara sedar atau tidak, dosa yang telah kulakukan pada masa lalu, pada hari ini dan pada masa akan datang. Tunjukkan lah aku ke jalan yang benar ya Allah, jalan yang mendekatkan ku kepada Mu, dan akhiri hayatku di masa Engkau redha pada ku. Janganlah hati ini dipesongkan. Pada Mu aku berharap semoga disatukan kembali dengan ibu ayah, suami, anak-anak dan keluarga tercinta di Jannatul Firdauws. Ameen...

***

Semoga perkongsian ini punya kebaikan.

Salam alaik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan