Sabtu, 19 November 2022

Mengharap hanya pada Allah swt

    بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم


2bulan lepas (sekitar penghujung Ogos) saya mengalami eksiden basikal. Tayar termasuk dalam longkang di jalan raya, menyebabkan saya terpelanting ke hadapan. Impak kepada insiden tersebut, saya mengalami bahu terkehel atau bahasa canggih sikit - shoulder dislocated. Alhamdullillah, saya masih sihat dan mampu meneruskan kehidupan seperti biasa cuma untuk mengangkat tangan akan terasa sengalnya. Suami bawa saya pergi ke chiropractic untuk membetulkan semula kedudukan tulang bahu. Alhamdullillah, atas idzin Nya, tulang bahu kembali pulih seperti sediakala setelah pertemuan yang kelima. 


Selain daripada tulang bahu, Dr Chiropractic tersebut turut memperbetulkan lain-lain kedudukan tulang dalam badan yang mungkin terhimpit atau tertekan gara-gara posture badan yang tidak betul. Setiap kali selepas pertemuan dengan dia, saya dapat merasakan badan lebih segar dan kepala lebih ringan. Subhanallah. 


Pertemuan dari 2 minggu sekali dikurang kan menjadi seminggu sekali dan yang terkini hanya sekali sebulan. Pertemuan terkini adalah Rabu yang lepas. Jedanya hampir 5minggu dengan pertemuan yang sebelumnya. Saya sangat look forward untuk bertemu dengan dia. Saya seperti yakin, kepala akan rasa ringan dan semangat saya akan boost selepas  badan ‘diservis’. Namun sangkaan saya kali ini meleset. Pertemuan Rabu lepas, memberi kesan sebaliknya. Bahu terasa kembali sengal dan kepala sakit sangat-sangat. Subhanallah. 


Sakitnya kepala terasa seperti tidak mampu berbuat apa-apa. Hati saya dapat merasakan bahawa Dr itu telah tersalah urat tatkala mematahkan tulang tengkuk saya. Allahuakbar. Dan diperbaringan saya, melayan kepala yang sakit, saya teringat akan kisah Ustaz Lokman.

Kisah yang diceritakan oleh beliau sendiri. Kisah hari di mana beliau berhenti berharap pada manusia. Kisahnya begini (version ringkas dari saya, maaf jika ada info yang tidak tepat). Ustaz Lokman mengajar mengaji dari rumah ke rumah. Di suatu hari, di hujung bulan, tatkala keluar rumah nak mengajar mengaji, sang isteri berkata, “Abang, susu anak dah habis”. Sebab dah hujung bulan, maka dengan yakin nya Ustaz membalas, “Takpe, lepas habis mengajar nanti dapat la dalam rm100. Lepas tu Abg beli susu terus”. Dan Ustaz pun pergi mengajar mengaji dengan harapan hari ini akan terima upah bulanan. Usai selesai tugasan mengajar, ketika ingin berangkat pulang, dengan hati yang berkobar mengharapkan datangnya rezeki, tiba-tiba tuan rumah berkata “Ustaz, yuran anak-anak saya bayar minggu hadapan la ya. Sebab tadi saya tak sempat nak pergi atm cucuk duit”.  Dalam kecewa, Ustaz balas, “Baik Puan. Tak apa”. Di atas motor dalam perjalanan pulang ke rumah, Ustaz menangis. Menangis bukan kerana tidak dapat wang upahan tetapi berasa ia tamparan dari Allah kerana dia telah menitipkan harapan nya pada manusia, dan bukan pada Allah, Raja Pemberi Rezeki. “Sambil saya menangis itu, saya beristigfar dan beristigfar kerana saya sedar saya bersalah. Saya telah bergantung harap pada manusia”. “Dan saya berdoa agar Allah buka kan pintu rezki nya kerana saya perlu kan wang untuk membeli susu anak”. 

Selain daripada mengajar mengaji, Ustaz juga ada menjual minyak herba akar kayu. Dan pertolongan Allah itu dekat. Telefon berbunyi, ada customer ingin membeli minyak herba. Alhamdullillah, syukur dia ke hadrat Ilahi. Berbesar hati Ustaz menghantar minyak herba tersebut. Dan si pembeli membeli 5 botol minyak herba. “Lepas lah untuk beli susu anak tin kecil”, kata Ustaz. 

Namun cerita nya tidak berakhir di situ. Berbual-bual dengan si pembeli, si pembeli merasa tertarik untuk mengupah Ustaz mengajar anak-anak nya mengaji. Dan sebagai tanda komitment, upah bulan mendatang terus dibayar pada masa itu juga. “Dan sekali lagi dalam perjalanan pulang ke rumah, saya menangis-nangis di atas motor. Kali ini tanda syukur dan terharu akan bantuan Allah swt. Semasa saya keluar rumah, saya mengharapkan RM100 untuk di bawa pulang. Namun bila saya mula bergantung harap pada Allah swt, saya pulang ke rumah dengan membawa lebih dari itu. Saya bawa pulang rezki dan hati yang bertambah yakin  kepada Nya”. Begitu la, kata-kata Ustaz mengakhiri cerita. 


Dan jujurnya, kisah seperti ini pernah saya alami. Mengharapkan customer bayar duit upah buat baby carrier namun dia minta tangguh, dan tatkala harapan saya berubah kepada Allah swt, ada customer lain mesej minta agar saya menjahit atau menjual carrier kepada nya. Alhamdullillah. Dan biasa nya apabila berlaku kesusahan, saya memang jarang nak berharap pada manusia. Saya yakin akan Allah dan doa-doa dan saya tahu Dia akan menolong dan memberikan yang terbaik buat saya.


Sebenarnya, terdapat relatasi antara kisah saya sakit kepala dan kisah Ustaz Lokman. Saya telah berharap agar pertemuan saya dengan  Dr chiro pada Hari Rabu itu, meningkatkan taraf kesihatan saya. Dan saya seperti telah menidakkan peranan Allah swt, Provider of all. Di perbaringan itu, saya panjatkan doa agar Allah mengampuni kekhilafan saya dan memberikan kesembuhan. Esoknya hari Jumaat, kepala saya masih sakit. Namun kami ada plan untuk bercuti bersama keluarga. Saya gagahkan diri untuk bangun dan berkemas mana yang patut. Sambil-sambil berkemas, kita berselawat - ambil berkat hari Jumaat. Dan diselit-selitkan juga doa agar Allah menyembuhkan atau paling tidak meringankan sakit kepala ini. 


Kami gerak lepas solat Jumaat. Destinasi nya tidak lah jauh mana. Hanya 1 jam perjalanan berkereta. Dalam perjalanan, seperti biasa suami bertanya - itu ini semua dah ada ya? Dan tatkala saya memalingkan muka ke arah nya untuk menjawab, terasa prak di leher. Dan Alhamdullillah, sakit kepala hilang seperti sekelip mata. Alhamdullillah… 


Apa saya nak cerita ini adalah  letaklah harapan hanya pada Allah swt. Untuk sebarang okasi. Hanya Allah memberi rezeki, menyembuh sakit, memudahkan urusan dan segala bentuk perkara yang kadang kita rasa seperti tiada harapan. Mungkin dalam berharap pada Allah, kita akan tersilap langkah dan terberharap pada mahkluk. Makanya, sentiasa istighfar dan memohon agar Allah memberi taufiq dan hidayah Nya. Kerana kita ini makhluk lemah. Tanpa petunjuk Nya, kita tidak tahu. Dan kita pohon agar “diberitahu” supaya kita tidak terjatuh ke dalam kancah kesesatan. 

Semoga Allah swt terus menunjukkan kita ke jalan yang benar. dan mengampuni dosa-dosa kita atas kekhilafan diri sendiri. 

آمیـــــــــــــن یارب العالمین


Terima kasih kerana membaca. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan