Bismillah...
Ini adalah cerita kecil tentang sebuah tasbih kecil. Saya perolehi tasbih ini, sejak 4 tahun yang lalu di rumah Mama, ada tetangga yang baru pulang dari Umrah menghadiahkan sebentang sejadah, tersisip dengan tasbih kecil ini. "Comelnya..,' pandangan pertama saya lalu jatuh suka. Lalu saya minta izin Mama untuk simpan tasbih tersebut.
Tasbih ni biasanya saya letak dalam tas tangan. Digunakan semasa bersiar dan menunggu - saya cuba menjaga pandangan dengan memain-mainkan bebola tasbih sambil berzikir. Tasbih ini turut saya bawa ke Tanah Suci, peneman setia di Arafah, ketika mabit di Mina, di Haram, Mekah dan Madinah. Hampir tercicir ketika di Haram Mekah, gara-gara saya letakkan tasbih kecil ini di peha, usai membaca Al-Quran, saya bangun dan ianya jatuh tidak berbunyi. Alhamdullillah.. saudari di sebelah menyedari akan keciciran tersebut, bergegas dia bangun dan berlari hanya untuk memulangkan tasbih kecil, mungkin di hatinya bimbing akan kehilangan saya di celah-celah manusia yang ramai. Alhamdullillah.
Seketika kemudian, saya mendapat ilmu baru, bahawa berzikir dengan menggunakan jari adalah lebih afdal, lebih sunnah, Rasulullah saw melakukannya dan ruas-ruas jari kita mungkin kelak menjadi saksi akan kegiatan kita yang sentiasa mengingati-Nya, tak kira masa dan ketika. Saya suka kaedah berzikir dengan jari - discreet, hanya kita dan Dia sahaja yang tahu. Maka, tersimpanlah tasbih kecil di tas tangan hampir tidak terusik.
Setahun berlalu, tasbih kecil kini kembali menjadi peneman setia. Kerana saya pelajari untuk mengingati ayat-ayat al-Quran secara utuh adalah mengulangkannya berkali-kali (minima 33 kali). Alhamdullillah kaedah mengulang 33 kali x 3:
i. baca sambil tengok mushaf 33 kali,
ii. baca dari memory sambil intip-intip mushaf 33 kali, dan
iii. baca dari memory 33 kali
dalam sekali duduk untuk setiap patah ayah banyak membantu otak tua saya untuk mengingati dan masyaAllah, quwataillah billah, hafalan tersebut lekat di minda. Ya, method nya memang perlahan dan memakan masa - dalam 1jam, saya mungkin mampu untuk menyelesaikan hanya 2 baris ayat, tapi Alhamdulillah, saya ingat apa yang saya mahu ingat dengan gambaran yang segar, Alhamdullillah.
Terima kasih tasbih kecil. Di suatu ketika saya rasa, tasbih ini hampir tidak berguna lagi dan hari ini juga hari-hari seterusnya, dia kembali berjasa. Alhamdullillah.
---
Semoga perkongsian ini membawa manfaat.
Salam alaik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan