Artikel ini ditulis untuk LangitIlahi.com. Boleh juga dibaca di website LangitIlahi pada link ini:
http://www.langitilahi.com/perkongsian-pengalaman-syukurku-pada-ilahi/
***
Jam 1000 malam.
Alhamdullillah, anak-anak semua telah selamat masuk tidur. Lega rasa hati. Selesai cerita satu hari yang tidak kurang panjang nya. Sebagai seorang surirumah, orang luar mungkin melihat kerjaya ini ringan dan mudah. Malah kawan rapat juga pernah melontarkan pandangan,
“Kau senang la kan, tidak terkejar-kejar di pagi hari.. tidak penat seharian di pejabat, dan tidak terkejar-kejar juga untuk pulang ke rumah dan bertarung dengan situasi di rumah.”
“Alhamdulillah,” jawapan ringkas dari saya.
Benar, sesungguhnya saya bersyukur. Di zaman ini, di mana kehidupan berkiblatkan materi, adalah menjadi suatu kesukaran untuk seorang perempuan yang berpendidikan tinggi, melepaskan jawatan di institusi kukuh, untuk berkhidmat sebagai ibu sepenuh masa. Alhamdulillah di atas sokongan suami, tatkala saya melontarkan hajat untuk mengasuh anak dengan tangan sendiri, dia bersetuju tanpa berfikir panjang. Cuma satu katanya, “Hidup tak boleh la bermewah-mewah lagi macam sebelum, sebab sekarang ni saya seorang sahaja yang berkerja”. Saya ambil pesan suami sebagai satu motivasi, untuk hidup berlandaskan keperluan, kerana kemewahan itu pilihan yang andai ada rezeki, kita nikmati, jika tiada, kehidupan tetap disyukuri, dan saya yakin rezeki itu milik Yang Maha Esa dan hanya Dia yang punya kuasa untuk mengagihkan kepada siapa.
Firman Allah swt, yang bermaksud:
Sesungguhnya Tuhanmu yang meluaskan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki- Nya, dan Dia juga yang menyempitkannya. Sesungguhnya, Dia Maha Dalam Pengetahuan, lagi Maha Melihat hamba-hamba-Nya.Surah Al-Israk, 17:30
Saya berbaring, bersedia untuk melelapkan mata sambil bermuhasabah,
“Apa yang telah kulakukan hari ini?”
“Hari ini, adakah langkah ku makin hampir kepada Nya atau semakin menjauh?”
“Wahai Tuhan kami, Tidaklah engkau menjadikan kesemua ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, peliharalah kami dari azab api neraka.”
Hati berdzikir, Astaghfirullahu wa atubu ilaih yang membawa maksug “Aku memohon keampunan daripada Allah dan aku bertaubat kepada-Nya” – saya baca berulang-ulang dan bagaikan terhipnosis, saya kembali tersedar pada jam 4.30 pagi. Alhamdullillah, masih diberi peluang untuk menjalankan tugas sebagai khalifah.
Masa ini masa emas. Anak-anak masih lena diulit mimpi. Ini rutin pagi yang saya nanti- nantikan, tanda mensyukuri nikmat atas segala anugerah Dia pada saya selama dada masih berombak bernafas. Peluang diri untuk mencari kekuatan dalam menempuh hari-hari, memohon keampunan-Nya atas dosa yang saya lakukan secara sedar atau tidak, bercerita dan mengadu permasalahan harian, hanya pada-Nya – di kala hari menguji diri, saya menangis mengadu dan di kala hari tersenyum cerah, saya panjat syukur bertalu-talu. Pada masa yang berbaki, saya amati pesan-pesan Dia di lembar- lembar Quran.
Sayup-sayup terdengar adzan memecah keheningan subuh yang bening. Alhamdullillah, satu hari yang panjang bermula kembali. Harapan setiap hari, langkah ini moga semakin hampir dengan Nya, dan bukan berpaling jahil juga sombong.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan