Selasa, 28 September 2021

Joy Jots #7 - Open line to the Heart

 بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم

Alhamdullillah, bertemu lagi kita untuk refleksi Joy Jot minggu ke7. Sepatutnya minggu ini dah masuk ke minggu ke8, namun exam and such makes me tunda everything kepada apa yang lebih utama. 

Ok, tajuk minggu ini adalah jihad mengawal pancaindera. Kenapa? kerana apa yang kita lihat, dengar, dan rasa, berupaya menjadikan hati kita tercemar tanpa kita sedari. Sebagai contoh:
i. mata melihat kepada perkara yang haram seperti menonton adegan bertepuk tampar antara lelaki dan wanita yang bukan mahram dalam drama (apatah lagi adegan yang lebih serius seperti berpelukan dan bercium); melihat gambar wanita yang tidak menutup aurat dengan sempurna (walaupun dia hanya tidak memakai tudung), mata melihat orang minum khimar dan hati tidak terasa apa-apa, mata melihat kepada nikmat orang lain (gambar-gambar mereka yang mungkin dikongsi di socmed) dan secara tidak semena hati terasa iri dan dengki,
ii. telinga mendengar musik yang mengasyikkan sehingga hati menjadi lalai dalam mengingati Allah (apatah lagi lagu dengan lirik yang berahi); mendengar kata-kata nista seperti makian atau carutan dan di dalam hati kita tidak terasa benci akan perkara tersebut,
iii. lidah yang lancang dalam memberi setiap komen, tanpa menjaga hati orang lain; berkata nista, keji dan carut, mengumpat akan orang lain (yang tidak berkenaan dengan kita) (apatah lagi jika kita terlibat sama dalam sesi umpatan tersebut);
iv. muka yang memaling dengan perasaan jijik pada peminta sedekah atau gelandangan yang kotor lagi busuk,
v. tangan yang gagal untuk menghulurkan walau sesen kepada peminta sedekah, memikirkan mereka adalah orang yang sihat, kenapa malas berkerja..

Perkara di atas adalah sebahagian daripada contoh yang berlaku di sekeliling kita tanpa kita sedari memberi impak kepada hati. Hati yang bersih akan tersirna dek pelakuan dosa yang dinormalisasikan. Ya, dosa yang dinormalisasikan, kerana kita seperti lupa bahawa perkara tersebut haram (hukumnya jelas dalam AlQuran) namun berasa tidak mengapa kerana terbiasa. Apabila dosa menjadi perkara biasa, yang merana adalah hati kita. kerana setiap dosa, memberi titik hitam pada hati, dan semakin banyak titik-titik itu, maka semakin gelaplah hati dan semakin sukarlah cahaya ilmu untuk menembus.

Dan pada saya yang sedang menghafal quran ini, topik minggu ini benar-benar menyedarkan saya untuk berhati-hati dalam menjaga hati. Kerana maksiat, walau hanya terpandang bisa meleburkan ingatan separuh muka Quran yang telah terhafal. Subhanallah. 

Saranan yang dianjurkan oleh Dr Tamara untuk mengawal pancaindera ialah:
1. gunakan mata untuk melihat yang cantik dan melindunginya dari perkara yang buruk (maksiat)
2. biasakan telinga mendengar alunan Quran dan perkara yang baik-baik (memuji kebesaran Ilahi) dan lindungi dari keji caci nista
3. deria bau kita guna untuk menghirup udara yang segar disamping berdzikir dan menghidu kebaikan amalan dan menilai kebusukan sebuah dosa,
4. tangan kita guna untuk merapatkan silaturrahim antara keluarga, jiran dan ummah
5. dan lidah ini biarlah digunakan untuk merasai kelazatan dan kemanisan iman dan tidak menjerumuskan diri kita ke lembah neraka dengan gosip dan kata kesat dan nista.



Imam Syafi'i rahimahullah pernah berkata:

"شَكَوْت إلَى وَكِيعٍ سُوءَ حِفْظِي فَأَرْشَدَنِي إلَى تَرْكِ الْمَعَاصِي وَأَخْبَرَنِي بِأَنَّ الْعِلْمَ نُورٌ وَنُورُ اللَّهِ لَا يُهْدَى لِعَاصِي "

Aku pernah mengadukan kepada Waki' tentang jeleknya hafalanku. Lalu beliau menunjukiku untuk meninggalkan maksiat. Beliau memberitahukan padaku bahwa ilmu adalah cahaya dan cahaya Allah tidaklah mungkin diberikan pada ahli maksiat."

Hal ini menjadi ibrah bagi kita bahawa maksiat bisa mempengaruhi jeleknya hafalan dan mengganggu ibadah kita. Sebagai renungan untuk kita semua, bahwa Cahaya Allah baik itu berupa ilmu, bimbingan atau lindungan rahmat-Nya akan jauh dari pelaku maksiat. Semoga Allah memberi taufik kepada kita agar terhindar dari perkara maksiat.


Reflection:
Which sense you have the most trouble protecting?
Pada saya, dari mata memang turun ke hati. Menjaga telinga agak mudah kerana saya boleh mendengar headphone Quran yang biasa saya bawa ke mana-mana. Namun mata, liarnya kadang payah nak dijinak. Alhamdullillah, semakin meningkat usia, semakin tumpul pandangan dan saya bersyukur juga kerana ia mengingatkan akan suntuknya masa bersama mata dan harus dimaksimumkan dengan kekerapan melihat Quran dan menghafal setiap butir pandangan yang terkelihatan. 

Semoga kita diberi daya kekuatan untuk memanfaatkan setiap kurnia pancaindera untuk beribadat kepadaNya. 

آمیـــــــــــــن یارب العالمین

Terima kasih kerana membaca. Ok, sampai sini dahulu, catatan untuk hari ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan