Selasa, 9 Januari 2018

Dengar

Bismillah...

Konsep pembelajaran secara berkesan.

Kisah pertama: Saya diberitahu oleh guru saya bahawa ada pelajar lain dalam kursus kami bermula dari peringkat Pre-Intermediate, selepas 3 bulan terus melonjak ke peringkat Proficient, dan pada bulan ke-5, beliau terus diserap untuk menjadi tenaga pengajar di akademi. Membandingkan pelajar tersebut dengan diri sendiri, saya mengambil masa hampir 3 tahun untuk merangkak naik bermula dari level Intermediate, ke level Upper-intermediate dan sekarang di level Advanced, belum lagi memasuki level Proficient  [nota kaki: Terdapat 6 level mengaji Quran - Beginner, Ilementary, Pre-Intermediate, Intermediate, Pre-Advanced, Advanced, and Proficient - di mana level ini ditetapkan oleh pihak Akademi bagi memudahkan untuk mengenalpasti kelemahan pelajar dan memberi fokus terhadap kelemahan tersebut]. Alhamdullillah, saya berpeluang untuk bertemu dengan pelajar tersebut secara berhadapan dan beliau telah menceritakan sendiri pengalaman beliau bagaimana berjaya menguasai tajwid dan membaca dengan cemerlang untuk tempoh yang singkat. Apa yang beliau lakukan adalah meluangkan masa bersama Al-Quran, satu jam di waktu pagi, dan satu jam di waktu petang, dengan mendengar bacaan Qari (Shk Al-Husary) dan mengikut bagaimana Shk tersebut membacanya. Beliau menghabiskan satu juzzuk setiap hari - mendengar, dan ikut membaca. Pada ayat-ayat yang sukar, dia akan mengulangi sehingga dia merasa lidahnya lancar untuk membaca ayat-ayat tersebut.

Kisah kedua: Ini merupakan kisah seorang ibu kepada 2 ulama terkemuka. Menjadi ibu pada usia muda, beliau merupakan seorang yang buta huruf, tidak pandai membaca. Namun beliau sangat suka mendengar Quran. Setiap hari beliau akan mendengar bacaan Qari dan ikut membaca bacaan tersebut. Beliau menghafal Quran dengan intonasi dan makraj yang tepat hasil daripada mendengar Al-Quran setiap hari.

Kisah ketiga: Ini kisah paling menakjubkan - 2 tahun umurnya, tetapi sudah menghafal 42 surah termasuk surah Al-Waqiah dan Ar-Rahman. MasyaAllah tabarakAllah.. di saat anak-anak kita dilekakan dengan lagu Shark a doo, anak kecil ini gigih diajar oleh emaknya membaca qalam Allah.

Ketiga-tiga kisah ini mempunyai satu persamaan - Belajar melalui mendengar.

Alhamdullillah. I've been listening to a lot of podcast and youtube regarding learning effectively (especially in memorising the Quran), and mostly the speakers stressed on this one important aspect : Learn to listen, Listening to Learn. Tidak dinafikan sebenarnya, dalam menuntut ilmu, perkara yang paling susah adalah untuk mendengar - dan mendengar dengan teliti. Kerana sedari kecil kita diajar mendengar untuk menjawab, untuk memberi respond dan meningkat dewasa, kita pula mengajar diri kita sendiri untuk mendengar apa yang kita hanya mahu dengar. Sebarang kata-kata lain, kita anggap alasan yang bernada bla bla bla..

Ajaib nya Al-Quran adalah ianya diturunkan secara verbal,melalui malaikat Jibrail as. bukan nya secara bertulis sebagaimana kitab taurat, injil dan dzabur.

Menurut buku Tafsir ibnu Katsir, ketika ayat-ayat Al-Quran mula dibaca oleh Jibrail as, Rasullullah saw akan mendengar dan terus cuba menghafal, kerana:
1. Baginda saw begitu gopoh untuk menbaca al-Quran kerana kecintaannya kepada wahyu yang diturunkan,
2. Baginda saw bimbang akan terlupa ayat-ayat tersebut.


Allah swt kemudiannya berfirman memberitahu baginda saw bahawa apabila Jibrail as membawa wahyu, baginda saw hendaklah hanya mendengar sahaja. Allah swt telah menegur baginda saw berkenaan dengan perkara ini, di dalam surah Al-Qiyamah, ayah 16-19:

Janganlah engkau (wahai Muhammad) - Kerana hendakkan cepat menghafaz Quran yang diturunkan kepadamu - menggerakkan lidahmu membacanya (sebelum selesai dibacakan kepadamu).
Sesungguhnya Kamilah yang berkuasa mengumpulkan Al-Quran itu (dalam dadamu), dan menetapkan bacaannya (pada lidahmu);(Al-Qiaamah 75:17)
Oleh itu, apabila Kami telah menyempurnakan bacaannya (kepadamu, dengan perantaraan Jibril), maka bacalah menurut bacaannya itu;
(Al-Qiaamah 75:18)
Kemudian, sesungguhnya kepada Kamilah terserah urusan menjelaskan kandungannya (yang memerlukan penjelasan). (Al-Qiaamah 75:19)



Larangan yang sama turut difirmankan oleh Allah swt dalam Surah Taha, ayah 114:

Maka Maha Tinggilah Allah, yang Menguasai seluruh alam, lagi Yang Benar (pada segala-galanya). Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) tergesa-gesa membaca Al-Quran sebelum selesai dibacakan oleh Jibril kepadamu, dan berdoalah dengan berkata: "Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku".


Menurut buku Tafsir ibnu Katsir lagi, ayat-ayat ini merupakan satu bentuk pendidikan yang diberikan oleh Allah swt kepada Rasul-Nya berkenaan dengan adab menuntut ilmu (di saat Rasullullah saw menerima wahyu daripada Jibrail as) dan teknik pembelajaran yang berkesan iaitu:

Diam dan dengar dengan teliti, apabila guru memberikan maklumat.


Pelajaran yang dapat kita ambil di dalam ayat ini menurut Dr Wahbah al-Zuhaily adalah : "Secara mutlak tidak dibenarkan seseorang itu tergesa-gesa, walaupun di dalam perkara Agama." [al-Tafsir al-Munir, 15/288].  Sebagai umat Nabi saw, kaedah mendengar baik-baik (listening), baru membacanya, mentelaahnya, merupakan cara pembelajaran yang terbukti berkesan.

InsyaAllah, saya akan cuba untuk mempraktikkan konsep pembelajaran ini. Kerana kadang bila guru sedang berbicara, diri sendiri juga sibuk nak berkata-kata. Lebih-lebih lagi kelas online, guru sedang bercakap untuk memperbetulkan bacaan kita, diri ini pula tak sabar-sabar nak utter semula apa yang diperkatakannya. Sehingga kadang-kadang mesejnya jadi clash. Kena berdiam sabar seketika untuk 'memuat-naik' ilmu daripada guru kita. 

Banyak hikmahnya untuk mendengar dengan teliti sebelum bertindak. Malah Allah swt, turut menjelaskan, mendengar dengan baik adalah ciri mereka yang ulul albab. Firman Allah swt dalam Surah Az-Zumar, ayah 18:

Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum agama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna (Ulul Albab).
(Az-Zumar 39:18)


Semoga pendengaran yang dikurniakan oleh Allah ini kita gunakan untuk perkara yang bermanfaat dan semoga kita diberikan petunjukNya untuk melakukan sesuatu perkara dengan bertepatan. 

Ameen.


----
Semoga perkongsian ini memberi manfaat.
Salam alaik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan