Sabtu, 29 Julai 2023

Sebuah Metafora

 Bismillah ArRahman Arrahiim.


Assalamualaikum.. Apa kabar semua? Setelah sekian lama menyepi tanpa sebarang update, hari ni saya nak jadi penglipurlara. Saya nak bercerita sebuah kisah pengembaraan yang dasyat. Kisah nya berbunyi sebegini:


Ada seorang manusia - saya gelarkan dia Anas (terjemahan dari bahasa Arab yang membawa maksud erm... manusia. Senang guna term ni sebab dia gender am. Boleh jadi lelaki atau wanita.) Di suatu ketika, Anas suka membaca sebuah kitab. Sebuah kitab warisan turun temurun. Kitab tersebut bercerita tentang permata kehidupan yang bisa membawa kebahagian pada masa kini dan juga masa depan. Setelah hampir berpurnama Anas membaca dan memahami isi kandung kitab tersebut, dia terpanggil untuk menjelajah mencari permata-permata yang menakjubkan itu. 


Maka, bermula lah pengembaraan Anas ke sebuah daerah terpencil mencari permata-permata sakti itu. Ada 114 buah permata keseluruhan nya. Menariknya tentang permata itu, ada yang senang didapati dan ada pula sukar sehingga menangis air mata darah untuk mendapatkannnya. Lebih menarik, pada sesetengah orang, kegiatan mencari permata tu bagai tidak bermakna. Ada kegiatan lain yang lebih penting yang lebih baik dilakukan dari mencari permata. Senang cerita, nilai permata-permata itu, hanya manikan sahaja yang tahu. 


Bertahun-tahun masa yang diambil oleh Anas untuk mendapatkan permata tersebut. Mencangkul tanah ke kedalaman terdalam, masuk gua pecahkan dinding, berenang di lautan api, serta mendaki gunung yang kerapkali dilanda ribut salji. Apa saja rintangan yang datang, Anas tidak berputus asa. Penat berlari, dia berjalan. Penat berjalan, dia merangkak. Begitulah, selagi mahu dia berusaha. Pantang menyerah sebelum kalah. Demi 114 permata berharga. 


Meh nak cerita, apa yang best sangat pasal permata ni.. Permata-permata ini, tatkala memperolehi nya, ia mengeluarkan cahaya yang memancar-mancar menerangi segenap ruang. Ini antara momen-momen yang memuaskan hati. Perasaan nya melonjak ke langit tertinggi. Sebab itu, bila dah dapat satu permata, hati ini jadi tak puas di situ. Nak lagi dan lagi. Sehingga cukup 114 permata diperolehi. Namun, pancaran cahaya permata itu sekiranya tidak dijaga, lama kelamaan cahaya itu beransur malap, suram dan gelap. Sinar nya mudah sirna! Makanya, antara aktiviti terpenting setelah mendapatkan permata-permata tersebut adalah terus terus menggilapkannya agar cahaya nya tidak hilang. Ajaib nya, permata yang kerap digilap akan semakin terang dan terang dan sampai pada suatu ketika cahaya terang nya itu kekal dan permata-permata tersebut tidak perlu digilap lagi. Namun ini mengambil masa yang lama. Bertahun-tahun. Malah, mungkin juga puluhan tahun untuk cahaya nya kekal menyinari. Seperkara yang tidak kurang pentingnya juga berkenaan permata-permata ini ialah, cahayanya akan malap jika Anas melanggar pantang. Ya, permata keramat ini ada pantang nya. Pantangnya itu adalah perkara-perkara terlarang. Bahasa mudahnya: maksiat. Sekiranya Anas bermaksiat, maka suramlah cahaya permata. 

Anas perlu punya himmah yang tinggi. Dia harus sadar, bahawa permata-permata itu sangat-sangat-sangat berharga. Nilai nya bisa meletakkan dia pada tingkat-tingkat surga tertentu. Oleh kerana itu, setiap kali dia menggali dan menemui permata tersebut, dia harus jaga permata-permata itu. Perkara pantang juga perlu dititikberatkan.  Kadang-kadang, kegiatan mencari dan mendapatkan permata-permata tersebut senang. Yang menjadi susah adalah untuk menjaga permata tersebut. Ramai Anas-anas yang tersungkur di sini. Setelah 114 permata ditemui, ianya disimpan di dalam peti, tidak dipeduli. Bukan begitu menghargai pernmata-permata itu. Ianya bukan dikumpul untuk disimpan. Hakikatnya, permata itu sentiasa harus dipegang, diusap dan digilap supaya sinarnya tidak sirna. Supaya bercahaya kekal terang benderang, tidak malap gelap lantas bertukar menjadi kerikil. Sayang andai permata yang dicari dengan lelah getir, setelah diperolehi, dibiarkan berdebu menjadi batu. 

Begitulah, kisah nya.  Untuk yang tidak jelas, Anas adalah si penghafal alQuran dan 114 permata adalah jumlah keseluruhan surah dalam alQuran. 


Soalannya disini, yang suka saya nak tanya -  Apa kabar hafalan kamu? Sudah dimurajaah belum?

Jangan biarkan permata kembali menjadi bata. Teruskan perjuangan - gilap permata itu dengan sabar tanpa jemu. Kelak nanti cahaya nya menerangi di alam kubur terus ke akhirat. 


Terima kasih kerana membaca. Secara surface nya, ini kisah saya. Saya masih berpetualang. Masih dalam usaha mengumpulkan 114 permata.Antara sebab kenapa blog ini bersawang. Menjaga permata pada saya tidak mudah. Saya struggle di sini. Alhamdullillah atas kekuatan dariNya, saya masih bertahan. Walaupun, banyak merangkak dari berjalan. Dan setelah hampir tujuh tahun mengembara dan masih tersisa dengan separuh juzuk Quran, satu hakikat yang tidak dapat saya nafikan adalah - Allah itu dekat, Maha Mendengar lagi maha Baik. Di saat saya hampir sahaja mengibarkan bendera putih, Dia bantu dengan perkara-perkara yang tak terduga. Alhamdullillah, Alhamdulillah. 


Perkongsian tips “berpetualang mencari permata dan mengekalkan permata itu agar sentiasa bersinar” - 

1. Perlu ada guru. Afdalnya yang sudah berjaya kumpul 114 permata. Kerna guru ini akan bantu kita bukan sekadar mencari permata. Tapi yang terpenting kaedah menjaga dan menggilap permata-permata yang telah berjaya kita kumpul.

2. Mengembara berteman adalah lebih memotivasi dari mengembara seorang diri. Ada yang menyambut bila kita hampir tersungkur. Dan apabila dia berjaya mengumpul lebih permata, secara diam-diam, kita juga menjadi berkobar - mahu jadi seperti dia. Alhamdullillah.

3. Ketahui lah bahawa permata itu nilai nya tiada tandingan. Jika dah dapat. Jaga dia elok-elok. Orang, bila dia dengar kau dah punya permata, mungkin dia akan kagum. Namun kagum nya setakat 2 saat. Dan kau, bersama permata-permata itu punya tanggungjawab yang besar. Kita nak persembah pada Allah swt, permata-permata yang telah kita perolehi dalam keadaan cahayanya terang menyilaukan mata. Ikhlaslah demi Dia. Jika digilap namun masih malap di dunia, tidak mustahil di akhirat kelak menerangi sepelosok alam. Yang penting ikhlas, dan teruskan berjuang.

Inshaa Allah di kelapangan lain, saya kembali menulis.

Semoga Allah memudahkan segala urusan kita dan mengurniakan barakah pada masa kita supaya bisa beribadah dengan maksima nya. Aamiin. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan