Isnin, 26 Oktober 2015

Hatiku, janganlah kembali berkarat...

Suatu ketika saya pernah ketagih kepada channel FoxCrime - Dexter, Psych, CSI, Law & Order, adalah antara cerita yang saya follow sehingga ke episod yang terakhir. Selepas merasakan betapa tv dan rancangan-rancangan seperti ini tidak mendatangkan faedah bagi saya, saya berhenti menonton. Tidak lah mendadak berhenti secara terus, tetapi saya dapati masa saya tidak cukup. Pelik sebagai seorang surirumah, yang tidak lah terlalu cerewet dengan kerja-kerja rumah, mempunyai kekangan masa. Order-order dari customer banyak tak dapat disiapkan mengikut jadual. Dan saya struggle untuk menghabiskan bacaan Quran mengikut piawaian yang saya sendiri tetapkan (nak khatam setiap 3bulan, pada waktu itu). Setelah disemak, saya dapati saya banyak me-lagho, dengan televisyen. Ya, masa yang saya ambil untuk menonton televisyen dahulu, hampir 5jam setiap pagi. Adakala baju berbasuh tak berjemur, dah berjemur, berhari baru diangkat, gara-gara saya sibuk dengan aktiviti menonton tv. Astaghfirullah, may Allah forgive me, too messed up..

Saya berhenti menonton secara terus apabila mula menghampiri Ramadhan tahun 2014. Gara-gara saya mulakan hobi baru iaitu membaca, dengan target #1buku1bulan. Alhamdullillah, saya gembira dapat meninggalkan televisyen. Hidup terurus, kerja tepat pada masa, Quran juga terjaga, begitu juga dengan amal-amal yang lain. Alhamdullillah.

Setelah sekian lama, entah macamana semalam saya menonton, channel FoxCrime, sesambil lipat kain. Mulanya anak-anak menonton kartun, kemudian mereka bermain di luar. Biasa nya bila mereka tiada saya tutup tv, tetapi semalam saya flip ke channel FoxCrime, dan on-air adalah cerita CSI-Miami dan saya tonton dari mula hingga habis - 2 episode, back to back. Allahuakbar.

***

Pagi tadi seperti biasa jam telefon berbunyi pukul 5pagi. Masa untuk bangun mengadap Ilahi. Berat nya la mata ni. Sepuluh minit kemudian saya kembali sedar. Kejutkan suami kerana katanya nak berpuasa. Subuh awal sekarang, 540pagi. Bimbang jika tak bersahur dia tak bermaya pula. Selepas suami bangun entah bagaimana saya kembali terlelap. Sedar-sedar sudah jam6. Allahuakbar. Perkara pertama muncul dalam ingatan adalah CSI-Miami. Allahuakbar, astaghfirullah.. Hatiku, janganlah kembali berkarat...

Semoga malam ini boleh kembali bangun seperti biasa. Dan kamu televisyen, selamat tinggal.



Rabu, 21 Oktober 2015

"Jewels of Islam: The Story of Maryam (a.s.)" by Shaykh Dr. Ahsan Hanif



Alhamdullillah di atas peluang untuk ke taman syurga, malam semalam.
Berikut adalah antara ilmu yang sempat saya notakan:

- We must have an establish relationship with the Quran. Quran will come as our attorney during the day of Qiyamah.
- How to understand the Quran?
--- Learn the meaning of the THEME of each chapter -> understand the theme.
--- Quran is unique becos each chapter comes in specific theme
--- However, each topic is connected, there's a chain that move from one chapter to the other chapter.
--- study the text and analysed.

Surah Maryam:
The only surah after a woman name.
So what is the theme?
-- solat, sabr and Allah will help.
>>> Zakaria as wants a pious zuriat - solat, sabr - Allah give Yahya
>>> Maryam, in her journey to give birth, alone, - solat, sabr - Allah give Isa, who is very special, a baby that can talk and backing his mother
>>> Ibrahim, in his dawah to his father, got rejected - solat, sabr - Allah promise that all of the rasul that came after is in his progeny
-- solat, sabr and the reward is pious zuriat.

Conclusion: In difficult time, establish connection with Allah - Solat, keep on praying - Sabr  - Allah will give Good News.

Subhanallah, Alhamdullillah.



Selasa, 20 Oktober 2015

Anugerah Allah

Antara perkara yang paling merisaukan untuk bermusafir menunaikan fardhu Haji ini adalah masalah wanita - menstruasi. Mengikut perkiraan bulanan, saya akan didatangi haid pada sekitar 25-28hb setiap bulan.
Musim haji tahun ini bermula pada 23hb Sept. Ritual Haji seperti wukuf di Arafah, mabit di Muzdhalifah dan Mina, melontar jamrat tidak memerlukan seseorang untuk berada di dalam keadaan suci, namun, ritual terpenting, tawaf ifadah adalah sama seperti solat, perlu dalam keadaan suci dan berwuduq. Tanpa tawaf ifadah seseorang itu dikira gagal untuk mendapat taraf Haji kerana tawaf ini termasuk dalam rukun Haji. 
Makanya pada awal bulan Ogos, setelah kembali suci, suami bertanya, adakah patut kita mencuba untuk saya terus berkeadaan suci tanpa haid sepanjang Haji atau bagaimana. Memandangkan kami memang bercadang untuk menambah anggota keluarga pada tahun hadapan, saya memberi persetujuan. Alhamdullillah, ini anugerah Allah. Memudahkan perjalanan ibadah saya. Benar, sepanjang Haji dan sepanjang berada di Mekah, saya giat beribadah kadangnya hampir terlupa yang saya berbadan dua. Namun semasa di Madinah, saya telah mula merasa efek kandungan - mual. 2 kali juga terlepas berjemaah di masjid, sebab keadaan saya yang mabuk, saya hanya ingin berbaring dan berehat. 
Alhamdullillah, setelah pulang baru sempat ke klinik dan memeriksa keadaan bayi. Dia sihat, nampak cukup aktif semasa scan dibuat. Semoga selamat segalanya, Ameen..

Terima kasih Allah atas hadiah terindah.. terkenang akan doa tetamuMu yang paling, paling, paling istimewa :)  .. Alhamdullillah.




Kisah kami pergi Haji (part2)

Konfirmasi untuk menunaikan haji pada tahun ini telah dibuat seawal akhir bulan March. Kami suami isteri sangat teruja. Segala urusan berbentuk pasport, salinan sijil nikah, dokumen lain yang berkaitan, kami selesaikan seawal mungkin. Perbualan kami suami isteri juga banyak berkaitan dengan persiapan dan ekspektasi kami terhadap seluruh perkara haji ini. Namun memandangkan kami akur pada segala kemungkinan (menurut syarikat pengurusan, permohonan visa Haji hanya akan dibuka pada penghujung Syawal), maka kami simpan sahaja berita gembira ini pada diri kami dan Papa Mama. Tidak diwar-warkan secara umum.

Hari berganti hari, bulan berganti bulan. Ramadan pergi, Syawal disambut meriah dan akhirnya, tibalah Zulkaedah. Menurut syarikat pengurusan, tarikh pemergian kami ke tanah suci telah ditetapkan pada 19 September 2015, Sabtu,  3.30petang mengikuti penerbangan Saudi Air. Alhamdulillah, hujung minggu maka mudah untuk papa dan mama datang mengambil anak-anak dan menghantar kami ke airport tanpa perlu mengambil cuti dan sebagainya. Apabila ditanya berkenaan dengan perihal visa, syarikat memaklumkan bahawa segala dokumen berkaitan telah pun dihantar ke kedutaan, dan sedang diproses untuk kelulusan.


3 minggu sebelum berlepas.
Kursus Haji.
Sejujurnya saya risau. Melalui pembacaan, dinyatakan bahawa, Haji yang dikira, dinilai kemabrurannya adalah haji yang dibuat pertama kali. Haji yang kedua, ketiga dan seterus nya hanya merupakan perkara sunat, yang efeknya tidak sama dengan yang pertama kalinya. Maka, kami harus memaku ketat perjalanan haji pertama dan mungkin kesekian kalinya ini.  Pelajaran melalui maya, youtube, tidak sama dengan pelajaran secara realiti. Saya fikir yang realiti lebih meresap ke sanubari. Usai berakhir Syawal, saya google sehabis mungkin mana-mana kursus Haji yang akan dilaksanakan pada masa terdekat yang berhampiran. Alhamdullillah, terserempak dengan iklan Kursus Haji Intensif 2 hari kelolaan Masjid Besi, Putrajaya. Wah.. hampir sungguh dengan rumah. Segera saya hubungi pegawai yang berkaitan. Malang sekali respon yang diterima menyatakan pernyertaan untuk kursus telah lama ditutup. Sudah penuh, maklumnya. Oh, hampa rasa. Tidak berputus asa, saya hubungi semula pegawai berkenaan bertanya apa mungkin akan ada ulangan kursus yang berkaitan dalam jangka masa terdekat? Pegawai tersebut bertanya kepada saya, pernah pergi kursus haji yang lain atau tidak? Jika pernah, isi kandungan kursus sama sahaja. "Tidak. Dan saya sangat terdesak", respon saya. 2 jam kemudian dia hubungi semula, "Saya tukar venue ke bilik yang lebih besar. Puan buat bayaran pada akaun ini untuk confirm kehadiran".  Subhanallah, Alhamdullilah.
Pada 22 dan 23 Ogos, kami hadiri Kursus Haji Intensif di Masjid Besi, Putrajaya. Alhamdullillah. Banyak ilmu yang kami perolehi. Memang berbeza kelas maya dengan kelas realiti.




2 minggu sebelum berlepas.
2 minggu sebelum berlepas kami pulang ke Ipoh. Mama menyarankan agar kami menggunakan sahaja kain ihram, beg, dan barang-barang lain kepunyaan mereka. Tak perlu membazir membeli, katanya. Papa turut mengajar suami bagaimana memakai kain ihram dengan betul. Mama menghadiahkan saya 2 helai telekung, satu berwarna hitam dan satu berwarna putih. "Yang putih ini untuk dipakai waktu di Arafah. Arafah jangan pakai hitam", ujarnya. "Kenapa tak boleh pakai hitam ke, di Arafah?", saya bertanya. "Kepanasan kau nanti", balasan mama disambut dengan derai ketawa dari saya. Hahah.. tapi, serius, betul sangat apa pesan mama. Di Malaysia saya ketawa, di Arafah, terduduk saya menangis... huh, tak tipu panasnya, Subhanallah! Cerita lanjut tentang Arafah nanti di chapter akan datang, insyaAllah.


Petang Ahad kami pulang ke rumah dengan 2 beg besar, kain ihram dan lain-lain kelengkapan. 1/3 daripada barang-barang yang akan kami bawa ke Tanah Suci telah tersedia, tinggal lagi 2/3 sahaja yang merupakan kelengkapan harian kami seperti baju, seluar, telekung, baju tidur dan lain-lain. Keesokkannya, Isnin hingga Khamis, suami berkerja di luar daerah. Anak-anak masih kami hantar ke sekolah dan ini diuruskan oleh saya.

1 minggu sebelum berlepas.
Suami dah mula bercuti. Memandangkan pakej Haji kami cuma 25 hari dan kelayakan cuti haji untuk syarikat tempat dia bekerja adalah 40 hari, maka dia mengambil cuti genap 40hari, extra cuti seminggu sebelum pergi dan seminggu selepas balik. Bagus juga dia sudah mula bercuti sebab dapat la serba sedikit dia menolong menguruskan rumah yang akan ditinggal kan ini.

Sabtu, 12 Sept.
Syarikat agensi memaklumkan akan adanya taklimat khas berkenaan perjalanan Haji dan perkara berkaitan pada hari ini. Taklimat bermula jam 10pagi di Masjid Al-Hidayah, Shah Alam. Sedang kami sibuk bersiap untuk menghadiri taklimat, Mama telefon, "Ada wakil daripada Tabung Haji call. Dia tanya kamu nak pergi Haji ke tak?". Aik, saya merasakan kepelikan di situ. Kenapa pula Tabung Haji hubungi? Setelah talian dengan mama diputuskan, saya nyatakan kepada suami. Suami juga merasakan pelik, namun disebabkan kami akan berjumpa dengan pengurusan syarikat maka kami ignore sahaja perkara tersebut. Dalam kami sibuk-sibuk nak keluar rumah, telefon saya berdering semula. Ia panggilan wakil daripada Tabung Haji. "Puan memohon untuk pergi Haji, tetapi Puan dah batalkan pendaftaran Puan", maklum beliau. Ya, pertengahan tahun ini, saya batalkan pendaftaran Haji saya dengan Tabung Haji disebabkan telah yakin akan pergi melalui agensi swasta. "Ada masalah ke?", saya tanya. "Semua urusan masih melalui Tabung Haji, jadi kami tidak dapat mengeluarkan surat panggilan Haji Puan. Begini lah, Puan pergi ke pejabat Tabung Haji yang terdekat untuk selesaikan masalah ini". Saya terus menjadi keliru. Suami menyarankan agar kami segera ke Shah Alam dan berjumpa terus dengan wakil syarikat dan bertanya berhubung dengan perkara ini.

Sampai di Masjid Al-Hidayah, Shah Alam, kami bergegas bertanya kepada wakil syarikat, Hajah Raz berhubung dengan masalah yang berbangkit. "Tak de apa tu, jangan risau," ujar beliau. Menurut beliau, Tabung Haji dapat kuota tambahan sebanyak 5ribu untuk tahun ini. Maka, semua agensi swasta yang memohon visa melalui kedutaan disaran untuk memohon secara terus dengan Tabung Haji. "Tabung Haji telefon sebab pasport kita semua ada dengan mereka, Mereka nak isu kan visa Haji tu", tambah beliau lagi. Walaupon masih keliru, tetapi kami berpuashati dengan penerangan yang diberikan.

Di penghujung taklimat, Haji Harun, pemilik syarikat berkenaan menyatakan dengan tegas, "Ok, kita jumpa semula, minggu hadapan, 19 Sept di KLIA. Flight jam 3.30 petang, mesti berada di sana dalam jam 12 tengahari ya". Kata-kata terakhir beliau disambut dengan separa sorak dari kami, bakal hujjaj sekalian. Masing-masing kelihatan teruja dan seronok.

Selasa, 15 Sept.
Hajah Raz telefon. Ada masalah sedikit katanya. Berdebar sangat hati ini. Allahuakbar. Masalah adalah berkenaan visa. Kena pergi Tabung Haji selesaikan. Tabung Haji masih mahukan kami mendaftar sebagai mereka yang mahu pergi haji pada tahun ini. Memandangkan kami ke Klang, melawat kakak ipar yang juga pergi menunaikan ibadah haji pada tahun ini, maka kami singgah terus ke Tabung Haji Klang. Sampai di sana, ketika sedang menunggu giliran, kami terserempak dengan Hajah Raz, yang juga sedang menunggu giliran untuk berurusan dengan kaunter Tabung Haji. "Hajah buat apa di sini?", suami menyapa. "Masuk duit, 10ribu. Kena masuk duit 10ribu. Tabung Haji nak tengok, nak lepaskan visa. Kalau tak diorang tak nak isu visa", jelas Hajah Raz. "10ribu? Allahuakbar", respon saya secara spontan. "Alamak, mana nak cari", balas suami. "Takpe, korang daftar dulu haji lepas tu baru fikir pasal 10ribu ni," Hajah Raz mencadangkan. Makanya, kami berdua daftar untuk pergi Haji dahulu. Tarikh giliran haji kami mengikut kepada pada surat tersebut adalah pada tahun 2088. Subhanallah, dah seratus lebih umur tu.. kami berdua ketawa. Namun di sepanjang perjalanan pulang dari Kelang ke Putrajaya, kami masing-masing berdiam. Masing-masing memikirkan mana nak cari 10 ribu, atau jumlahnya 20ribu dalam masa yang sangat singkat ini.

Rabu, 16 Sept.
Hari ini cuti umum Hari Malaysia. Memandangkan anak-anak tidak bersekolah, selepas syuruk saya kembali tidur. Jam 9pagi bangun, dan dikejutkan dengan soalan daripada Zahra, "Ummi tak jadi pergi haji ya?" "Ha.. kenapa pulak?" "Walid yang cakap." "Walid cakap macam tu ke?" "Erm tak tahu.." "Walid kat mana?" "Ada kat bawah tengah buat kerja." Saya ambil masa bersihkan diri, mengemas bahagian atas, seketika kemudian baru turun. Kelihatan suami sedang tekun menaip sesuatu pada kekunci laptop. Saya terus masuk ke dapur, seketika suami datang menyertai saya di dapur. "Esok saya masuk kerja balik. Saya tak boleh cuti lama-lama, leave dah tak ada", ujar dia. "Jadi kita tak jadi pergi ke?" tanya saya. "Tak tahu", jawab suami. "Saya tak ada sumber 20ribu", tambahnya lagi. "Tapi kita tak boleh putus asa. Tiket kapal terbang semua kan dah ada. Macam mana tu?"saya cuba menyangkal. "Masalah nya visa tak ada, macamana nak masuk Saudi." "Tak. Kita tak boleh putus asa. Siti Hajar berlari 7 kali Safa-Marwah nak dapat kan air untuk Ismail. Kita tak bole give-up macam ni je", balas saya yang disambut diam oleh suami. Saya naik ke atas dan meneruskan mengemas barang-barang. Suami pula meneruskan kerja-kerja pejabat dia.

Saya cuba menjadi positif tetapi memandangkan respon suami yang seperti berpatah harapan, hati saya jadi tidak tentu hala. Saya ingat akan ceramah Imam Suhaib Webb berkenaan dengan solat Tahajud, mereka yang melakukannya ikhlas kerana Allah swt, dan meminta sepenuh hati tidak akan disiakan permintaan nya. Hampir setiap malam saya minta agar dijadikan kami tetamu yang paling, paling, paling istimewa, mana mungkin Allah menghampakan permintaan saya nan satu ini. Saya yakin kami akan pergi, tetapi mengenang akan nilai 20ribu itu, mana pulak nak dicari..

Untuk tenangkan hati, saya baca Al-Quran, dan bagai kan Allah sedang berbicara dengan saya, saya dipertemukan dengan ayat ini:
Jika Allah menolong kamu, maka tak adalah orang yang dapat mengalahkan kamu; jika Allah membiarkan kamu (tidak memberi pertolongan), maka siapakah gerangan yang dapat menolong kamu (selain) dari Allah sesudah itu? Karena itu hendaklah kepada Allah saja orang-orang mukmin bertawakal. - Surah Ali Imran, ayat 160.

Tawakkatullah. Kata kunci di situ. Di luar pengetahuan suami, saya hantar mesej kepada Papa. Saya  mahu Papa dan Mama berdoa, berdoa supaya semuanya dipermudahkanNya. Doa, selain di buat oleh diri sendiri pada waktu-waktu tertentu, doa ibu bapa juga adalah mustajab.



Seketika kemudian, mama telefon, "Dedek, kenapa?". "Ada masalah sedikit la Ma", kata saya dan saya pun menceritakan selanjutnya masalah yang kami hadapi. "20ribu tu untuk apa sebenarnya?" "Entahla Ma, kami pun tak faham. Tabung Haji nak tengok baki akaun untuk diorang isu visa. Kena ada 10ribu dalam akaun sekurang-kurangnya." "Tabung Haji ambil ke tak?" "Tak. Parking je katanya. Dia nak tengok balance. Entahla.. kami pun pening. Dah la singkat sangat waktu nya ni." "Macam tu pulak. Banyak juga 20ribu tu. Dah tu nak buat macamana ni?" "Wallahua'lam Ma. Doa je kami ada sekarang ni. Mohon Mama Papa doa jugak la. Supaya permudah semua." "Ok, nanti Mama call Sya suruh dia berdoa jugak.". Talian dengan Mama diputuskan. Lega serba sedikit selepas dapat berkongsi masalah dengan Mama.

Malam tu selepas isyak, saya baring-baring di atas katil. Anak-anak masih ligat bermain. Suami datang lantas bertanya, "Dah habis kemas barang?" "Ada sikit je lagi", jawab saya. "Pergi ke?" tanya dia lagi. "Pergi", jawab saya disambut dengan ketawa kami berdua. Sedang kami berdua berborak hal yang tidak berkaitan, telefon saya berdering. Mama di talian. "Dek, kat mana? Mat ada kat situ tak?" "Dalam bilik. Ada ni Abg Mat." "Ha.. pasang speaker. Kami nak cakap sikit." Selepas loud speaker dipasang, mama berbicara, "Kami baru balik masjid ni. Ada ngaji Quran tadi. Kami dah bincang-bincang hal korang. Rasa sedih pula jika kamu berdua tak dapat pergi haji. Papa decide untuk bantu dengan 20ribu tu. Esok kami sampai KL, nanti kita pergi Tabung Haji sama-sama transfer duit. Yang ini kita usaha, yang selebihnya kita doa lagi supaya Allah permudahkan." Putus je talian dengan Mama, berderai-derai air mata saya. Allahuakbar, sejujurnya saya tak pernah menyangka yang Papa dan Mama akan berusaha membantu. Saya ni seorang anak yang degil, selalu melawan kata. Acapkali juga saya merasakan yang saya ini umpama kambing hitam dalam keluarga, sebab pendapat saya jarang diambil pakai. Sungguh, saya amat-amat terharu. Melihat saya sedih menangis, suami berkata, "Tahu tak apa, perjalanan Haji kita sebenarnya dah bermula. Ini adalah antara ujiannya..."

Khamis, 17 Sept.
Kami ambil Papa dan Mama di KL Sentral, kemudian bergegas menuju ke Bangunan Tabung Haji Jalan Ampang untuk urusan pemindahan kewangan. Selesai transfer, suami menghubungi Hajah Raz memaklumkan bahawa kami telah selesai melakukan semua syarat yang ditetapkan oleh pihak Tabung Haji untuk mengeluarkan visa - daftar Haji dengan jumlah 10ribu dalam setiap akaun. Hajah Raz memaklumkan jika semua syarat telah dipenuhi, maka sekarang kita tunggu sahaja. InsyaAllah, visa akan sempat dikeluarkan paling lewat pagi Sabtu.

Jumaat, 18 Sept. 
Masih tidak ada sebarang berita tentang visa.

Sabtu, 19 Sept.
Tunggu dan masih menunggu. Hajah Raz kata jika visa dapat dalam jam tengahari, dia akan uruskan perubahan flight penerbangan kami dari jam 3.30petang ke jam 6.20petang. Ada satu lagi penerbangan Saudi Air ke Jeddah jam 6.20petang pada hari yang sama. Namun jika masih terlewat, urusan penerbangan akan dibawa ke hari esoknya.
Tengahari dan kami masih belum menerima sebarang berita. Saya masih menangis mengenangkan jika kami tak jadi pergi. Suami ajak keluar untuk makan tengahari, tetapi saya menolak. Tak rasa nak keluar, tak rasa juga nak makan. Makanya, dia keluar berempat dengan anak-anak. Peluang berseorangan saya manfaat kan dengan bersolat. Solat dan solat, akhirnya saya sujud memanjat doa. Jika selama ini saya berdoa semoga Allah swt permudahkan perjalanan kami, jemput kami suami isteri menjadi tetamu Nya yang paling, paling, paling istimewa, tetapi pada saat dan tika itu, saya mohon akan keredhaan hati. Dalam esakan, saya pohon agar Allah swt beri saya kekuatan untuk redha di atas segala ketentuanNya, andai kata kami tak jadi pergi, jangan la hati ini bersu'uzon, bersangka buruk terhadapNya, saya mohon untuk melihat situasi ini sebagai satu rahmat yang terbesar dariNya, pelajaran untuk memantapkan iman saya. Usai berdoa, Alhamdullillah, hati kembali menjadi tenang.
Lewat petang, dalam jam6, kami dapat mesej dari Hajah Raz. Visa telah selamat diisu! Allahuakbar. Sekali lagi berderai-derai air mata saya. Airmata kesyukuran. Lahawlawala quwataillabillah, tiadalah dayaku tanpa pertolonganMu, Ya Allah. Hati tidak putus-putus berzikir, Alhamdullillah. Hajah Raz turut memaklumkan bahawa waktu penerbangan adalah jam3.30 petang, melalui pesawat Saudi Air, mohon untuk berada di airport seawal jam 12 tengahari esok.


Malam itu, Mama, Papa, Sya dan suami datang tidur di rumah kami. Esok kami akan menempuh satu perjalanan yang panjang, setelah satu sesi pra-perjalanan yang tidak kurang panjangnya.

Ahad, 20 Sept.
Alhamdullillah atas rahmatnya. kami 'dijemput' ke Baitullah dengan menaiki pesawat Saudi Air jam 330 petang. Kami mungkin lewat sehari dari jadual asal. Tapi untuk berada di dalam perut pesawat dan membayangkan akan impian kami yang bakal menjadi kenyataan, Subhanallah, tak tergambar perasaan, tak terungkap dengan kata-kata. Kegembiraan untuk pergi menyambut panggilan Allah, LabaikAllah, melebihi perasaan sedih meninggalkan anak-anak kerana kami tahu anak-anak akan dijaga baik oleh Mama dan Papa.




Perjalanan mengambil masa 7 jam, dari Kuala Lumpur ke Jeddah. 5 jam pertama diisi oleh kami dengan membaca, suami sibuk membaca kembali nota-nota manasik Haji, manakala saya membaca Al-Quran. 2 jam kemudiannya kami isi dengan tidur. Alhamdullillah, kami selamat tiba di Lapangan Terbang King Abdul Aziz, Jeddah pada jam 830 malam waktu Saudi. Jika di Malaysia waktu tempatan adalah 130 pagi.



Urusan immigresen untuk kemasukan kami jemaah Haji mengambil masa 5jam. Usai jam 2pagi baru kami dapat keluar daripada airport, menaiki bas munuju ke penginapan kami di Aziziyah. Di dalam bas, saya duduk bersebelahan dengan jemaah Haji yang pada mulanya saya fikir daripada kumpulan yang sama. Setelah berkenalan, saya dapati dia daripada kumpulan Haji yang lain, menumpang dengan bas kami, memandangkan mereka hanya 8 orang sahaja (yang tertinggal, selebihnya telah selamat tiba dengan penerbangan hari sebelum). Kumpulan kami juga terbahagi kepada dua, 30 antara kami telah selamat sampai semalam, menaiki penerbangan asal, manakala kami, yang lambat diisu visa nya juga seramai 30 orang, selamat tiba pada hari ini.
Berbual dengan dia, yang saya terlupa bertanya akan namanya, kelewatan dia berbanding dengan ahli kumpulan yang lain adalah disebabkan dia juga menghadapi masalah yang sama dengan kami. Alhamdullillah, seperti kami, lewat petang juga mereka dikhabarkan bahawa visa telah selamat diisu. "Alhamdullillah, datang dari mana, dengan siapa?" mendengar dia berbicara dengan loghat utara yang pekat, saya bertanya. "Kami datang dari Taiping. Dari Khamis hari tu dah ada kat KL. Sebab ingat pergi semalam kan. Kami berlima, saya, suami, makcik 2 orang, dan abang ipar." "Alhamdullilah, semua pergi sekali la ni?" "Tak jugak, patutnya kami berenam, dengan kakak ipar. Tapi dia tak dapat pergi." "Ha, kenapa dia tak dapat pergi?" kehairanan saya bertanya. Terperanjat juga mendengar ada yang tak dapat pergi. "Agent kami cakap masa nak print visa tu sistem down. So tak dapat la nak print had kakak ipar tu punya. Tak dapat la dia pergi, visa takda." "Allahuakbar. Belum rezeki lagi tu," balas saya perlahan. Kedua kami kemudian terdiam. Dalam hati saya berzikir sebanyak-banyaknya, memanjat kesyukuran. Betulla kata orang, Haji ni tiket jemputan dari Allah. Ada duit, sihat tubuh badan, namun jika belum mendapat jemputan, maka belum boleh jadi tetamuNya.

Jam 4pagi masa Saudi, kami selamat tiba di penginapan sementara kami di Aziziyah. Sampai sahaja, kami terus Subuh berjemaah bersama ahli kumpulan yang lain. Selepas Subuh ada sedikit tazkirah, kemudian berehat. Hari ini telah Isnin, esok Selasa merupakan permulaan perjalanan ibadah Haji kami, di mana kami akan bergerak ke Arafah. Kami memilih melaksanakan Haji Ifrad, sesuai dengan tempoh masa berihram yang tidak begitu panjang.



Kisah perjalanan ritual Haji kami akan disambung pada episod seterusnya, insyaAllah.


Sabtu, 17 Oktober 2015

Kisah kami pergi Haji.. (part1)

gambar ehsan google.com


Alhamdullillah, syukur ke hadrat Ilahi, atas jemputanNya, kami, suami dan saya, telah selamat sampai ke tanah suci Mekah untuk menunaikan fardhu Haji dan Alhamdullillah telah juga selamat kembali ke pangkuan keluarga tercinta, Khamis lalu.

Di sini, saya mengambil kesempatan untuk menceritakan serba sedikit pengalaman Haji kami. Yang mana yang baik datangnya dari Allah, dan dimana yang silap dan salah, itu dari khilaf kami sendiri.

***

Impian.
Menunaikan fardhu Haji bukan sekadar impian bagi kita yang beragama Islam, ia satu tanggungjawab. Perlu dilunaskan bagi mereka yang berkemampuan. Seperti firman Allah pada ayat 97 , surah Al-Maidah,

Bermaksud: "Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliannya; di antaranya ialah) Maqam Nabi Ibrahim. Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah. Dan Allah Taala mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepada-Nya dan sesiapa yang kufur dan ingkar kewajipan haji itu, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya dan tidak berhajatkan sesuatu pun daripada sekalian makhluk".

Impian peribadi saya adalah untuk pergi menunaikan fardhu Haji seawal usia 35 tahun. Pada pendapat saya, penting untuk melunaskan Rukun Islam yang terakhir ini pada usia muda berdasarkan kepada faktor tenaga. Rebut lima sebelum lima, waktu muda sebelum tua, waktu sihat sebelum sakit. Ibu dan ayah saya mengerjakan Haji pada tahun 2007, dan mereka menyarankan agar kami suami isteri untuk mengerjakan fardhu ain yang satu ini pada usia muda. Haji merupakan ibadah fizikal dan rohani, lebih mudah jika pergi pada usia muda, pendapat mereka. Setiap kali tiba musim Haji, saya selalu terinspirasi dengan kisah-kisah Haji yang dibaca dan ditonton di kaca tv, dan semestinya kisah-kisah travelog haji Prof Kamil dan Puan Roza banyak memberi dorongan untuk kami berusaha agar dijemputNya pada usia yang segar bugar ini.


Bagaimana ianya bermula?

Alhamdullillah, Allah beri kami rezeki lebih awal tahun ini. Macam-macam perancangan yang dibuat dengan lebihan rezeki tersebut, antaranya, renovate rumah serba sedikit dan selebihnya kami rancang untuk menukar kereta kepada kenderaan yang lebih besar untuk keselesaan anggota keluarga. Kami merancang, Allah yang menentukan. Kereta mpv yang ditempah, yang sepatutnya tiba sebelum sambutan Tahun Baru Cina, tidak kunjung tiba. Apabila ditanya kepada pengedar, jawapan yang diterima agak terapung, maka kami yakin, belum masa untuk kami menukar kepada kenderaan besar yang baru. Lantas suami bertanya, "Nak tukar kepada jenama kereta lain atau bagaimana?". Entah bagaimana, saya menjawab, "Kalau kita pergi Haji, ok tak?". Suami terdiam, memandang saya dengan pandangan yang berteka-teki. Seketika, dia menjawab, "Anak-anak bagaimana? Yahya kan masih susu badan?".
"Yahya akan berusia setahun sepuluh bulan, cukup besar untuk putus susu. InsyaAllah, papa mama boleh jaga anak-anak kita. Saya rasa kalau kita nak pergi, tahun ini adalah yang terbaik. Sebabnya, tahun depan kan kita plan nak tambah baby, lepas tu mama papa kuat lagi nak jaga anak-anak. Kalau lambat kita tangguh, alamatnya kita kena tunggu anak-anak habis sekolah baru dapat pergi." Saya memberi jawapan dengan penerangan yang panjang lebar. "Kita daftar Tabung Haji dulu. Pas tu kita buat surat rayuan. InsyaAllah, jika ada rezeki kita, kita pergi tahun ini", saya menambah penjelasan selepas melihat kepada respon suami yang diam.
"Ok, jika betul kita nak pergi, kita pergi pakej jela, senang. Ikut Tabung Haji, peluang kita mungkin nipis. Ofismate saya ada pergi dengan pakej tahun lepas. Nanti saya tanya dia agensi apa, prosedur bagaimana", suami akhirnya memberi kata putus yang positif. Masya Allah, tiba-tiba rasa berdebar seluruh jiwa raga. Kami akan pergi Haji tahun ini? Persoalan yang memberi dua rasa, seronok dan takut.. seronok atas tercapainya impian selama ini, dan takut, adakah kami bersedia untuk menjadi tetamu-Nya.

Persediaan awal.
Setelah mendapat maklumat terperinci berkenaan dengan syarikat yang mengelolakan pengurusan Haji secara swasta, kami hubungi syarikat berkenaaan - Haji Harun Seh Umrah & Tours Sdn Bhd. Seperti sediamaklum, menunaikan Haji secara swasta, bayaran nya adalah berganda mahal berbanding dengan pakej muasasah Tabung Haji, namun kami teruskan juga memandangkan kedudukan syarikat yang kukuh, yang berjaya menghantar jemaah Haji ke Tanah Suci setiap tahun, dan bagi kemudahan pihak kami juga- penginapan yang berhampiran dengan masjid, bilangan jemaah yang kecil memudahkan untuk berinteraksi dengan mutawir dan tempoh waktu yang lebih pendek (25 hari) berbanding dengan muasasah Tabung Haji (40 hari).

Syarikat memaklumkan untuk booking, kami perlu membayar sebanyak amaun tertentu. Suami dengan segera membuat bayaran tersebut, dan di sini kami telah selangkah menuju ke target kami iaitu menunaikan fardhu haji pada tahun ini. Hati saya sangat berdebar-debar. Pertamanya saya risau, jika kami tidak berjaya melunaskan pembayaran, maka harapan itu terkubur; kedua, saya hampir tidak dapat membantu suami langsung untuk menjelaskan pembayaran - kerja saya tidaklah lumayan dan wang simpanan juga tidak banyak. Alhamdullilah, antara latihan Ramadan yang berbekas sehingga ke saat ini, adalah bangun awal sebelum fajr. Waktu yang sangat berharga itu saya manfaatkan sepenuhnya melalui solat tahajud, dan memohon supaya Allah swt menjemput kami ke Baitullah, memudahkan setiap urusan perjalanan ke sana dan menjadikan kami tetamu yang paling, paling, paling, paliiinggg istimewa. Ya, saya memohon agar dijadikan tetamu yang paling, paling, paling, paliiinggg istimewa, mengambil contoh dari doa yang ditulis oleh Prof Kamil melalui buku Travelog Haji nya.

Memandangkan kami telah membatalkan niat untuk membeli kereta baru, maka suami mengambil keputusan untuk membuat bayaran penuh kepada syarikat tersebut. Dengan ini, seawal akhir bulan March, secara tidak langsung, kami telah confirm tempat untuk menunaikan haji pada tahun ini. Allahuakbar, Subhanallah, maha suci Allah, tak tergambar bagaimana perasaan saya ketika itu. Gembira semestinya, takut dan terharu bercampur baur.

Untuk memantapkan persediaan ke Tanah Suci Mekah, pertama kali nya, saya baca kembali buku Travelog Haji Prof Kamil. Kemudian, seiring dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang sedang berlangsung, saya beli banyak jugak buku berkaitan dengan perjalanan Haji dan Umrah, secara ringkas juga secara detail. Antara saranan penulis-penulis buku berkaitan adalah memulakan, membiasakan gerakan fizikal, senaman, dan yang paling penting adalah berjalan/berjogging kerana kebanyakan ritual Haji melibatkan pergerakan fizikal berbentuk berjalan seperti bertawaf, bersaie, perjalanan dari Mina ke Jamrat untuk melontar. Jika seseorang tidak biasa dengan aktiviti berjalan, makanya, ritual tawaf, saie ini akan kelihatan amat berat dan membebankan. Penat saya memikirkan bagaimana saya perlu bergiat aktif dengan aktiviti senaman. Suami menyarankan agar pergi berjalan di taman berhampiran dengan rumah setiap petang, namun, saya selalu merasakan, aktiviti senaman di khalayak ramai adalah tidak bersesuaian dengan saya, yang memakai tudung labuh dan berjubah hitam setiap kali keluar rumah. Takkan saya nk berjogging dengan pakaian seperti ini. Untuk mengubah kepada pakaian senaman yang bersesuaian, meskipun mengikut kehendak muslimah, lagi la saya rasa janggal seperti berhipokrasi pula lagaknya, kerana saya pakai apa yang saya pakai untuk Allah swt, bukan untuk saya, makanya merubah penampilan untuk kepentingan diri rasa seperti tidak kena. Sekurang-kurangnya, itu apa yang saya rasa. Saya ada membeli basikal, dimana berjubah dan bertudung labuh tidak lah begitu awkward apabila berbasikal, namun masalah yang timbul pula adalah masa dan anak-anak. Payah untuk beraktiviti luar apabila ada anak-anak, yang perlu diperhatikan sentiasa. Akhirnya solusi yang saya capai ialah bersenam di rumah. Dimana saya bebas berpakaian senaman dan anak-anak bisa disibukkan dengan aktiviti biasa mereka seperti bermain lego. Saya mohon kebenaran pada suami untuk membeli treadmill. Alhamdullillah, permintaan diluluskan, dan dengan duit simpanan serba sedikit (yang saya simpan untuk menyertai Program Quran Intensive Bayinnah with Ust Nouman Ali Khan) saya laburkan membeli treadmill. Walaupon hati sedikit sayu, mengenangkan saya mengorbankan kelas yang saya berkehendakan sangat untuk pergi setelah sekian lamanya, namun Alhamdullillah, membeli mesin treadmill tersebut merupakan satu pelaburan yang tidak saya sesalkan. Saya manfaat sepenuhnya mesin tersebut, hampir setiap petang saya berjalan dan berjogging sejauh 3km, dan Alhamdullillah sangat membantu stamina saya ketika di Tanah Suci Mekah. Alhamdullillah.

Selain daripada persediaan fizikal, saya teruskan juga dengan aktiviti Tahajud, terusan berdoa supaya Allah swt permudahkan segala urusan kami di sana, dan menjadikan kami sebagai tetamuNya yang paling, paling, paling istimewa dan terusan membaca, dan mendengar ceramah youtube tentang perihal Haji dan bagaimana untuk mendapatkan yang terbaik daripada ibadah ini.

Penting untuk ada pengetahuan berkaitan Haji dan persediaan stamina kerana ini adalah bekalan. Sesesuai dengan firman Allah pada Surah Al-Baqarah, ayah 197:

“(Musim) haji adalah beberapa bulan yang dimaklumi, barangsiapa yang menetapkan niatnya dalam bulan itu akan mengerjakan haji, Maka tidak boleh rafats (berkata lucah), berbuat fasik dan berbantah-bantahan di dalam masa mengerjakan haji. dan apa yang kamu kerjakan berupa kebaikan, niscaya Allah mengetahuinya. Berbekallah, dan Sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa dan bertakwalah kepada-Ku Hai orang-orang yang berakal.” 

Perihal anak-anak, kami segera memaklumkan kepada mama dan papa akan hajat kami untuk menunaikan fardhu haji dan memohon jasa baik mereka untuk menjaga anak-anak kami. Alhamdullillah, mama dan papa sangat gembira dengan berita akan kami ingin menjadi tetamu Allah dan berbesar hati untuk menjaga cucu-cucu mereka.

Alhamdullillah. Selesai perkara yang kecil-kecil ini.  Timbul pula perkara besar, yang hampir saja merengut impian kami ke untuk ke Baitullah.  sambungan episod 2 insyaAllah ...