بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم
Selepas berhenti daripada kelas halaqah Quran Madinah, Alhamdulillah, saya terasa hidup kini lebih lega dan tidak terkejar-kejar atau stress - gara-gara nak kena setoran separuh muka surat dari hari Isnin ke hari Khamis, dan hari Ahad pula ada mini test 2juz (1juz baru + 1 juz lama). Alhamdulillah. Saya juga bisa kembali ke kehidupan yang sediakala - bersenam di waktu pagi, membaca buku, dan melakukan perkara yang saya nak buat tanpa rasa bersalah sebab tak revise 1juz lagi hari ini, atau dah buat revision, namun tak ingat apa yang direvise.
Well, apa yang saya nak tulis ini adalah pendapat peribadi saya berkenaan aktiviti menghafal al-Quran. Alhamdulillah, hingga ke hari ini saya telah menghafal hampir 13juz (kini di Surah AnNur). Hafalan tidak lah mutqin keseluruhan namun, in shaa Allah, saya revise dan saya ingat akan surah-surah yang telah saya murajaah pada hari tersebut, dan boleh la dibawa masuk solat. Walaupun minggu depan jika ditanya tentang surah yang saya baca dalam solat hari ni, mungkin bacaan nya telah kembali tidak lancar. Alhamdullillah, la hawlawala qu wataillabillah.
Saya kerapkali diingatkan (melalui post-post pada channel menghafal alQuran yang saya follow di telegram atau instagram) bahawa:
1. Penghafal al-Quran ini tidak sama dengan orang lain.
2. Setiap hari kena murajaah. Jika tidak hafalan akan hilang.
3. Goal menghafal al-Quran adalah untuk mendapatkan bacaan yang mutqin - yang bila ditembak di sana sini, boleh terus meluru laju ayat al-Quran keluar dari mulut.
==Persoalannya, benar atau tidak?
Saya simpulkan:
1. Penghafal al-Quran ini tidak sama dengan orang lain.
Statement ini benar. Kita sebagai penghafal alQuran berada pada satu jalan yang berbeza dengan orang lain. Kerana apa, kerana kita mungkin lebih tahu berbanding mereka yang kurang mendampingi alQuran. Kita baca Quran, kita baca makna, kita baca tafsir untuk lebih pemahaman terhadap ayat tersebut, dan kita ulang banyak kali untuk hafal. Masakan sama dengan mereka yang hanya baca sekali lalu untuk monthly khatam atau bertilawah tadarus bersama teman. Dan benar, kita juga perlu menjaga hati daripada ternoda dengan dosa, kerana hati yang gelap akan membias cahaya ilmu. Dan tindak tanduk kita juga perlu la sejajar dengan isi kandung alQuran. Allah swt berfirman, jangan begini, maka haruslah kita patuhi. Kita semestinya tidak mahu dilabelkan sebagai penghafal ala burung kakaktua. "Hafal Quran tapi perangai ..."
2. Setiap hari kena murajaah. Jika tidak hafalan akan hilang.
Statement ini benar. Hafalan yang ditinggalkan akan lenyap dimamah waktu. Malah tidak keterlaluan jika diungkapkan bahawa tugasan berterusan seorang penghafal al-Quran adalah murajaah. Kecualilah jika seseorang itu dikurniakan nikmat ingatan yang excellent dari Allah swt, tidak perlu mengulang namun berupaya mengingati setiap butir huruf tanpa kesalahan (ma shaa Allah, barakallahu fik).
Soalan: Murajaah itu, sebenarnya.. bagaimana?
Saya teringat akan statement seorang bertanya kepada seorang Sheikh.
"Ya Sheikh, berapa banyak alQuran yang perlu kita baca setiap hari?"
Sheikh menjawab, "Berapa banyak kebahagian yang kita mahu."
Saya rasa begitu juga lah dengan halnya murajaah. Berapa banyak kebahagian yang kita mahu kecapi, begitulah banyak nya murajaah yang bisa kita buat. Jika dengan murajaah satu surah sahaja kita sudah bahagia, Alhamdulillah. Namun, harus maintain. Istiqamah. Sekiranya kita mulai dengan 5mukasurat setiap hari, maka berterusan lah 5ms. Jangan dikurangkan. 5ms tidak susah. Selepas setiap kali solat fardhu, baca semuka. Total ulang 5kali - ulang 3kali lihat mushaf, dan ulangan kali ke 4 dan yang ke 5, sudah boleh baca tanpa perlu melihat lagi. Done, murajaah semuka. Fajar-Zhur-Asr-Mgh-Isya' = selesai 5ms dimurajaah. Esok pagi bangun tahajud baca 5ms tersebut. dan begitulah seterusnya setiap hari. Maintain murajaah sebegini, sehingga lah malaikat maut datang menjemput.
3. Goal menghafal al-Quran adalah untuk mendapatkan bacaan yang mutqin - yang bila ditembak di sana sini, boleh terus meluru laju ayat al-Quran keluar dari mulut.
Setelah 5 tahun menghafal alQuran (dan masih lagi tidak khatam menghafal) saya berkeputusan bahawa statement ini bukan untuk saya. Ya, dalam post sebelum nya saya ada menyatakan saya mahu hafalan yang mutqin.. namun setelah saya selidiki pada diri sendiri, saya tertanya apa maksud mutqin itu? kenapa saya mahu mutqin?
Berbalik kepada goal: kenapa saya mahu hafal Quran?
Setiap orang akan punya jawapan yang berbeza. Saya mahu menghafal alQuran kerana saya mahu sentiasa membaca alQuran setiap hari. Mengisi masa luang yang saya ada dengan mengulang bacaan alQuran kerana saya tahu, jika saya tidak menghafal alQuran saya akan isi masa itu dengan perkara lagho lagi tidak berfaedah. Been there, done that. Alhamdulillah atas taufiq dan hidayah Nya, saya pada hari ini berada di atas jalan ini. Alhamdulillah.
Berbalik kepada kisah mutqin, bukannya saya tidak mahu secara total bacaan yang mutqin, yang ditembak dari segenap sudut dapat dijawab dengan betul. Jika Allah swt menganugerahi nya, Alhamdullillah, sebuah nikmat hidup yang besar. Namun jika tidak, Alhamdulillah, murajaah diteruskan seperti biasa. Walau harus baca mukasurat yang sama berulangkali - minggu lepas baca dah lancar, minggu ni dah tak ingat balik - its okey. Maknanya saya akan sentiasa bersama alQuran (berbalik kepada goal kenapa saya mahu menghafal alQuran). Ianya bukanlah sebuah permainan kalah-mati. It always a win-win situation. Semakin banyak Quran yang dibaca, semakin bersih jiwa raga. Begitulah.. binbang juga jika sudah dapat hafalan yang mutqin, lantas alQuran itu ditinggal. Tidak dikembali ulang kerana sudah mutqin. Macam hafalan sifir. Saya rasa semua orang punyai hafalan sifir yang mutqin, dan tidak lah merasa, "bangun pagi ni aku nak revise sifir 3 sebab saja, lama tak baca.." No, right. Dah hafal molek, nak ulangbaca kenapa pulak kan..
Baru ini saya terbaca tulisan Ustaz Deden Makriyudin di instagram. Berhubung dengan teknik menghafal Quran. Ust Deden kata ada 2 jenis penghafal alQuran. saya ringkaskan seperti di bawah:
1. Menghafal seiring murajaah
- yang ini seperti yang ramai antara kita buat jika menyertai halaqa Quran
- kaedah nya hafal ayat baru dan murajaah surat/ayat lama diteruskan setiap hari.
- jika dah hafal 1juz, take a week break untuk revision. Then exam dengan Guru. Jika bagus baru lanjut ke juz seterusnya atau ulang revision sehingga lulus exam.
- kaedah ini perlukan ziyadah dan murajaah yang seimbang. Jika murajaah kurang dari sepatutnya, akan susah nak hafal ayat baru. Sebab hati tak tenang memikirkan surah a, b atau c yang telah terlupaan.
- kaedah ini sesuai untuk mereka yang boleh menghafal alQuran sepenuh masa. Namun untuk partimer juga boleh, cuma akan memakan masa bertahun lama untuk khatam hafal kali pertama.
2. Menghafal seumur hidup
- teknik ini kebanyakkan digunapakai di Timur Tengah (Syria, Gaza, Yemen) dan juga jika seseorang menyertai karantina menghafal alQuran.
- kaedah nya mudah, hafal dan tinggal. Contoh nya jika seorang menghafal separuh muka setiap hari. Pagi dia mula menghafal 8baris, bila sudah hafal, hafalan dibaca dalam setiap waktu solat. Esok mula hafal 7baris berikutnya, hafalan dibaca dalam setiap solat. Hari ke3 baca semuka penuh berulangkali, dan baca dalam solat. Done. Hari ke4, hafal 8baris pertama muka baru. Hafalan semalam ditinggalkan sepenuhnya. Tak perlu murajaah. Keadah yang sama (hari 1, 2 dan 3) diulangi seterusnya setiap hari. In shaa Allah jika hafal 1/2 muka konsisten setiap hari, dalam kurang 3tahun, siap khatam hafalan alQuran. Namun, perjalanan menghafal tak berhenti di khitmul kali pertama. Ianya diulang terus sehingga lah malaikat maut datang menjemput. Sebab itu namanya menghafal alQuran seumur hidup.
- kaedah ini mudah tapi hati kena kering. Jika asyik dok terkenang akan surah lalu yang dah terlupa, tak boleh pakai kaedah ini. Akan jadi susah nak hafal ayat baru.
- kaedah ini sesuai untuk mereka yang mahu menghafal dengan kadar yang cepat (jika hafalan adalah semuka surat setiap hari, in shaAllah, dalam 1tahun 8bulan, akan khatam hafalannya).
- sesuai juga untuk penghafal part-timer, sebab tiada murajaah, maka boleh fokus kepada menghafal sahaja. Namun, bila dah habis khitmul kali pertama, tak boleh gah pukul canang declare diri ni hafiz Quran. Kang suruh jadi imam solat Terawih, pengsan kat situ. Hehee..
- contoh penghafal Quran seumur hidup: seperti kisah pemandu teksi yang menghafal alQuran sambil bekerja di post ini.
- mungkin ada yang merasakan: makna nya tak hafal alQuran la ni. Jika ditebuk tak boleh jawab. Apa tujuannya menghafal kaedah begini? Tujuan nya berbalik kepada kaedah menghafal di atas- nak bawa portion yang telah kita hafal, baca di dalam solat. Tidakkah kita mahu berdiri di depan Allah swt membaca sepotong ayatNya yang berbeza daripada surah lazim yang kita baca? Semalam aku baca ms 233. Kelmarin dulu ms 232. Hari ini aku baca dalam solat ms 234. Kita pun ada kesedaran apa yang kita baca dalam solat. Tidak la bila habis bagi salam, terus tak ingat surah apa aku baca rakaat 1 tadi.
Menurut Ust Deden lagi, samada mahu memilih kaedah 1 atau 2, mengikut kepada asbab kenapa kita hafal alQuran. Jika menghafal bertujuan untuk menjadi guru, imam atau daie, kaedah 1 adalah lebih sesuai. Dan sekiranya menghafal bertujuan untuk mendampingi alQuran sentiasa, makanya kaedah 2 memang sesuai (sebab itu disyorkan agar orang-orang tua menggunakan kaedah ini untuk menghafal alQuran).
Setelah membaca posting tersebut, saya rasa semua orang berkeupayaan untuk menghafal alQuran. Jika sudah boleh baca alQuran, maka sebenarnya seseorang itu sudah bersedia menghafal. Gunakan kaedah 2 - Menghafal seumur hidup. Setiap hari hafal separuh muka. Selesai satu Quran, kembali ke garis permulaan, dan manghafal kembali. Terus menghafal sehingga malaikat maut datang menjemput. Saya juga merasakan bahawa kaedah 2 ni praktikal sangat. Mula menghafal mungkin akan rasa sakit nya di situ, namun pada round kedua, atau ketiga, akan terasa perbezaan apabila membaca alQuran. Nikmat nya apabila kita baca ayat yang dah kita hafal, ayat tersebut meluncur laju pada lidah. Mudah dibaca, sedap didengar. Dan solat kita juga akan terasa lebih sedar (bukan sekadar autopilot) apabila kita membaca ayat-ayat yang lain dari kebiasaan.
Begitulah, sembang-sembang tentang hafal alQuran. Ekoran daripada statement seorang teman, "Aku berminat nak hafal alQuran tapi rasa tak boleh nak bagi 100% sebab aku ada banyak benda lain yang buat juga". Saya faham.. saya rasa ramai orang takut nak jump into this adventure of hafal alQuran sebab perkara murajaah. Lebih-lebih lagi apabila dimomokkan dengan statement melupakan alQuran itu dosanya besar. Menghafal itu memang mudah, tetapi perkara murajaah, saya pun terasa sakitnya di sini. Dan posting Ust Deden ini benar-benar membuka mata. Boleh sahaja nak hafal alQuran tanpa murajaah, syarat nya kena menghafal seumur hidup.
Saya harap blogpost ini dapat membantu menaikkan semangat kawan-kawan kat luar sana untuk memulai journey menghafal Quran. Mungkin tahun 2022 ni, azam nya adalah untuk menjadi penghafal alQuran seumur hidup. Ayuh, kawan-kawan.. semangat!!
Saya juga sedang mengatur semula target saya dalam perjalanan menghafal alQuran. Dalam post yang sebelum ini (Joy Jots #13) saya ada mentioned masalah saya dengan murajaah adalah untuk mendapatkan cue. Dan hasil mendengar ceramah daripada Ustadzah Rifdah, murajaah itu akan jadi sukar bila target nya terlalu besar (1, 2juz sehari).
Sebab murajaah itu bukan tilawah. Bukan sekadar bacaan dari mushaf selak semuka demi semuka, cukup 1 atau 2juz and today murajaah is done. No, no. Itu tilawah. Murajaah itu: bacaan diluar kepala. Tutup Quran itu dan baca page yang telah dihafal sekian dulu. Bacaan tartil tanpa ada kesalahan. Nah, jika target nya 1juz maka 1juz perlu dibaca secara tutup mushaf. Jika berhasil, then baru boleh declare, murajaah for today is done.
Makanya, apabila kita target besar (1-2juz) dan apabila pada hari A, target kita tersasar, ianya akan menjadi efek domino kepada pergerakkan target murajaah harian. Dan seterusnya akan menimbulkan rasa cuak, jenuh dan membawa ke futur.
Tips nya: Mulakan dengan sedikit. Kemudian apabila sudah berhasil mantap, boleh tambah sedikit lagi. Dan begitulah seterusnya. Seperti mengangkat beban, jika terlalu berat akan menimbulkan kepayahan dan rasa yang tidak enak, dan lama-kelamaan terus ditinggalkan.
Saya nilai diri saya sendiri, dalam keadaan saya yang masih menghafal dan sibuk dengan aktiviti bersifat peribadi yang berkepentingan untuk mental-health saya, saya simpulkan bahawa saya mampu untuk murajaah 5ms sahaja sehari. Dan cara murajaah nya telah saya terangkan di atas - 1ms setiap kali lepas solat. Alhamdulillah, perasaan nya lebih tenang dan gembira. Ya, hati berbunga kepuasan apabila target harian tercapai. Tidur malam pun lena. Alhamdulillah.
Kesimpulan untuk post kali ini ialah keberadaan untuk kekal bersama alQuran itu adalah sepatutnya tujuan hidup setiap orang Islam. Menghafal dan maintain hafalan adalah projek seumur hidup. Tidak perlu batasan waktu (saya target hafal quran dalam masa 3tahun, 5tahun, sebelum umur saya sekian tahun.. no-no) namun tidak juga untuk dilengah-lengah atau ditunda-tunda. AlQuran hadir sebagai petunjuk, membezakan antara yang baik dan buruk, dan mengubat hati yang sakit. Saya pilih untuk mengecapi kebahagian bersama alQuran - kehidupan yang seimbang duniya dan akhirat. Saya tidak mahu menjadi seorang yang moody gara-gara target murajaah yang tidak kesampaian. Semoga Allah swt menunjukkan kita ke jalan yang benar dan terus-terusan memberikan kita taufiq dan hidayat Nya untuk kekal setia bersama alQuran sehingga ke akhir hayat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan